Berita Utama

DAP kuat gasak kerajaan PH supaya ikut telunjuk mereka, kata Zuraida

Adakah DAP tak bertindak sebagai 'abang besar' pada komuniti Cina?

BANGI, 29 Ramadan 1442H, Selasa – Pengalaman bersama mentadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan lalu telah menampakkan belang sebenar parti itu yang cuba menjadi dominan dalam masyarakat Cina di Malaysia. 

Demikian dakwa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini. 

“Saya berpandangan bahawa DAP perlu mencerminkan diri mereka. 

“Bermula dari pemilihan kerusi pilihan raya yang bersifat mengikut kaum, DAP kuat menggasak kerajaan dan parti komponen lain untuk mengikut telunjuk mereka khususnya dalam hal ehwal masyarakat dan komuniti Cina,” katanya. 

Zuraida berkata, antara buktinya ialah keputusan menyalurkan peruntukan dana khas kepada sebuah kolej persendirian, terus daripada Kementerian Kewangan pada waktu itu dan tidak melalui Kementerian Pendidikan. 

Katanya, DAP dengan cara ini cuba mengukuh cengkaman terhadap komuniti Cina. 

“Setiap percakapan dan perbuatan mereka dinisbahkan dan disandarkan kepada kaum Cina sedangkan mereka bukanlah satu-satunya pihak yang mewakili kaum tersebut,” kata Zuraida. 

Zuraida berkata demikian selepas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menyatakan politik Malaysia akan stabil apabila UMNO menerima hakikat bahawa tiada lagi parti dominan, induk, teras atau ‘abang besar’.

Chin Tong berkata, hakikat itu perlu diterima dan parti Melayu tersebut perlu rela hadir bersama (co-exist) dengan parti-parti lain sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

“Apabila UMNO menjadi pembangkang, ia harus memberi laluan kepada kerajaan baharu untuk mentadbir,” dakwanya.

Atas dasar itu, Zuraida mempersoalkan adakah DAP tidak bertindak sebagai ‘abang besar’ kepada komuniti Cina dalam negara ini.

Sedangkan, tindakan dan kenyataan mereka jelas membuktikan bahawa mereka sememangnya mahu masyarakat Cina di Malaysia berada di bawah telunjuk DAP, kata Pengarah Pilihanraya PN Selangor itu.

“Ini adalah perkara yang tidak sihat untuk Malaysia. Malaysia yang makmur adalah negara yang dikelola oleh pemimpin bersifat prihatin kepada seluruh warga tanpa batasan dan pengasingan kaum. 

“Tiada lagi ‘abang besar’ yang berhak mendakwa mereka mutlak mewakili kaum tertentu. Wajah baru politik Malaysia wajar memperlihatkan keharmonian sebenar, bukan retorika didalam penulisan atau ucapan. 

“Semua pemimpin adalah pemimpin untuk semua bangsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button