Berita Utama

Tak perlu normalisasi komunisme demi jaga hubungan China

Malaysia negara berdaulat, jangan jadi kerbau dicucuk hidung

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Malaysia tidak perlu mengangkat komunisme hanya untuk menjaga hubungan baik dengan China.

Ini kerana pelbagai lagi cara yang ada seperti merai kebudayaan orang Cina untuk menjaga hubungan baik dengan republik itu, kata Yang Dipertua Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Naqib Zahid.

Beliau menegaskan, komunisme tidak patut dinormalisasikan tidak kira dalam bentuk hiasan dinding, komik, perhimpunan dan sebagainya.

“Komunisme merupakan sejarah gelap Malaysia terutamanya kepada perajurit-perajurit yang berkorban demi keselamatan negara.

“Pejuang-pejuang kita berperang bermati-matian demi menjaga keselamatan orang awam sewaktu Malaysia diserang komunis,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, Naqib mengingatkan bahawa Malaysia tidak perlu tunduk kepada negara asing walaupun berbeza pendapat.

Katanya, perbuatan membenarkan ideologi komunisme demi menjaga hubungan menunjukkan negara lemah dan ibarat kerbau dicucuk hidung.

Katanya lagi, Malaysia ada corak komuniti tersendiri, justeru tidak perlu untuk terikut dengan corak negara luar.

“Komunisme tidak akan diterima di Malaysia kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Komunisme secara dasarnya ialah satu aliran fikrah atau pemikiran, sama seperti Islam.

“Namun begitu, pemikiran komunisme dan Islam sangat bertentangan antara satu sama lain kerana komunisme menolak ketuhanan. Rukun Iman pertama Islam ialah kepercayaan kepada tuhan, maka terserlah percanggahan Islam dan komunisme,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin parti perkauman, MCA seolah-olah menyokong tindakan restoran di Pulau Pinang yang menampal kertas hiasan dinding karikatur yang mempunyai komunisme dan pemimpin komunis.

Ia berikutan Naib Presidennya, Tan Teik Cheng menyifatkan tindakan polis terlalu keras dan ‘sensitif’ serta boleh merosakkan hubungan dengan kerajaan China.

Malah, Teik Cheng yang bagaikan menganggap isu ini remeh berkata, perkara itu tidak perlu ditangani polis.

Sebelum ini, media melaporkan, polis membuka kertas siasatan terhadap kes restoran yang menghias dua premisnya di Auto City dan Pulau Tikus, Pulau Pinang dengan memaparkan elemen komunisme.

Kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button