Berita Utama

PRN: Kemenangan PN akan beri impak pada Zahid

Ramai ahli UMNO kecewa, tak sabar nak ubah kerajaan Negeri Sembilan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Muharram 1444H, Jumaat – Biarpun digembar-gemburkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya di enam negeri tidak menjejaskan kedudukan Kerajaan Persekutuan, namun sedikit sebanyak dijangka memberi impak kepada UMNO.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, sekiranya PN meraih kemenangan pada 12 Ogos ini, pastinya kepimpinan UMNO akan mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

“Walaupun PRN enam negeri ini PN menang dan Kerajaan Pusat tidak tergugat sekalipun, tapi ia ada satu impak yang besar kepada kerajaan sebenarnya.

“Bahkan melibatkan kepimpinan UMNO itu sendiri. Jika semua negeri itu PN menang dan UMNO kalah sudah tentulah pemimpin-pemimpin UMNO akan mendesak presiden meletak jawatan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, Zool yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban mendakwa, rata-rata ahli UMNO kecewa apabila Ahmad Zahid bekerjasama dengan DAP.

“Sekarang ini apa yang saya nampak hasil kita jumpa orang ramai di kawasan saya sendiri, Lenggeng, rata-rata walaupun mereka ini masih dalam UMNO tapi semua sudah kecewa.

“Mereka juga tidak sabar menunggu PRN kerana nak ubah kerajaan Negeri Sembilan ini,” dakwanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRN dan diadakan serentak membabitkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button