Berita Utama

Bencana berganda COVID-19, banjir gagal sedarkan politikus

Laksana kembali larangan rentas negeri, ketatkan semula PKP: I-Medik

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Bencana berganda yang melibatkan peningkatan kes pandemik COVID-19 dan banjir di beberapa negeri sepatutnya menyedarkan parti-parti serta pemimpin untuk melakukan gencatan politik sehingga keadaan menjadi lebih baik. 

Ketua Unit Kesihatan Awam I-Medik, Dr Mohd Ihsanuddin Abas berkata, dalam situasi genting ketika ini, kerajaan sepatutnya mengetatkan semula perintah kawalan pergerakan di samping melaksanakan kembali larangan rentas negeri seperti sebelum 7 Disember lalu.

“Ini bagi mengekang penularan COVID-19 di dalam komuniti dan sistem kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) mampu menguruskan kes-kes positif dengan baik. 

“Melandaikan kembali graf kes positif akan membantu mengurangkan kadar jangkitan dan kematian baru COVID-19,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, dengan pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa sesi persekolahan dan institusi pengajian tinggi akan dibuka dalam masa terdekat ini, pihak tersebut perlu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa COVID-19 benar-benar di bawah kawalan terbaik. 

“Sememangnya prosedur operasi standard (SOP) perlu ditekankan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan, namun keyakinan rakyat juga mesti dikembalikan,” katanya.

Lebih meruncingkan keadaan lagi, kata Dr Mohd Ihsanuddin, apabila fenomena banjir di beberapa negeri yang sedang berlaku masih belum menunjukkan tanda akan berakhir dalam masa terdekat. 

“Justeru pemimpin parti-parti politik kerajaan hendaklah berhenti bergaduh sesama sendiri dan fokus kepada keselamatan rakyat dan pemulihan ekonomi negara. 

“Jika mereka masih belum sedar tidak mustahil rakyat akan menghukum mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi peringatan mengenai keadaan wabak COVID-19, dengan mencadangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih ‘disasarkan’ untuk mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, sistem penjagaan kesihatan kini sedang berjuang dengan pertambahan jumlah pesakit dan sedang berada pada ‘tahap genting’ (breaking point) ketika ini.

Katanya, negara kini memerlukan ‘pemutus litar’(circuit breaker) dan telah mengusulkan supaya kerajaan menerapkan versi ‘PKP bersasar’ untuk menurunkan jumlah kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button