Berita Utama

COVID-19: 16 kematian hari ini, naik sekali ganda berbanding semalam

Sebanyak 2,643 kes baharu dicatat dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Kes kematian akibat COVID-19 melonjak sekali ganda daripada lapan kematian semalam kepada 16 hari ini sekali gus mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak sembilan kes dicatatkan di Selangor, empat dari Sabah manakala tiga dari Johor berumur antara 44 hingga 79 tahun.

Ini katanya menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara sebanyak 537 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Untuk makluman, peningkatan kes-kes kematian pada hari ini adalah berikutan terdapat kes-kes yang memerlukan tempoh masa tertentu untuk siasatan lebih lanjut dijalankan sebelum kematian tersebut disahkan adalah disebabkan oleh COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kes harian pula, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 2,643 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam, menurun berbanding semalam iaitu 3,027 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 131,108 kes.

Katanya daripada keseluruhan kes baharu yang direkodkan hari ini dua daripadanya merupakan kes import dan selebihnya adalah penularan tempatan, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini adalah sebanyak 25,140 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button