Berita Utama

COVID-19: PM buat pengumuman khas Isnin depan

Berhubung situasi semasa tunjuk trend meningkat kebelakangan ini

KUALA LUMPUR, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.

Semasa memaklumkan perkara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memandang serius dan sentiasa memantau situasi semasa trend peningkatan jangkitan yang mencatatkan empat digit bermula penghujung November 2020, sehingga rekod tertinggi kes harian COVID-19 dicatatkan semalam dengan 3,027 kes baharu.

“Kerajaan sedang memperhalusi dan menilai tindakan-tindakan yang perlu diambil segera bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 termasuk mempertimbangkan prosedur operasi standard lebih ketat melibatkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan dan risiko COVID-19,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga mendengar keluhan dan cadangan rakyat yang amat bimbang dengan peningkatan kes itu, selain sangat memahami beban tugas yang dihadapi petugas kesihatan berikutan peningkatan kes yang mendadak.

Jelasnya, ia lebih-lebih lagi ketika beberapa negeri ketika ini sedang diuji bencana banjir, dan ramai yang bimbang jika bencana itu akan menjadi satu lagi penyebab kepada penularan COVID-19 ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button