Berita Utama

DAP dakwa Najib, Zahid ‘perompak’, tapi setuju bentuk kerajaan baharu secara tertutup?

Cubaan hakis persepsi anti-Melayu, tempelak UMNO hanya sekadar lakonan

BANGI, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Pendedahan Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini membuktikan DAP hanya ‘berlakon’ menempelak pemimpin UMNO, tetapi secara tertutup berjumpa dengan mereka, berbincang dan bersetuju menubuhkan kerajaan baharu bersama.

Sebelum ini, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) mendakwa, wujud gerakan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP termasuk membentuk kerajaan baharu.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, beliau menerima laporan bahawa UMNO dalam proses menjalin kerjasama dengan DAP untuk tujuan itu.

Memetik artikel yang disiarkan di laman Facebook berbahasa Cina, Bingo Daily, kesudian DAP menjalinkan kerjasama dengan UMNO tanpa rasa malu bukanlah suatu perkara di luar jangkaan, ketika berlakunya krisis perubahan kerajaan negeri Perak, DAP yang menyuarakan secara terbuka kemungkinan kerjasama.

“Ketika menjawab soalan dari penyokongnya, Pengerusi DAP, Perak Ngar Kor Ming tidak berselindung mengakui kesudian DAP bekerjasama dengan UMNO untuk membuktikan DAP bukan anti-Melayu dan Islam.

“Selain itu, demi mempertahankan keputusan untuk bekerjasama dengan UMNO, Ngar Kor Ming telah mengeluarkan surat terbuka menggesa ahli DAP untuk menyokong pendirian kerjasama DAP dengan UMNO.

“Ketika DAP teruk dikecam oleh ahli-ahlinya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengesahkan usaha Ngar Kor Ming untuk menubuhkan kerajaan negeri bersama UMNO telah mendapat persetujuan dari jawatankuasa pusat DAP,” dakwa artikel berkenaan yang dimuat naik, semalam.

Artikel itu mendakwa, demi mendapat kedudukan dan jawatan dalam kerajaan, DAP sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuklah dengan pemimpin UMNO yang selama ini mereka kaitkan dengan rasuah dan labelkan sebagai perompak.

“Menerusi pendedahan Annuar Musa kita dapat tahu, sebelum berlakunya perubahan kerajaan Perak lagi, DAP telah pun mengadakan perjumpaan rahsia dengan puak-puak Najib dan Zahid dari UMNO bagi membincangkan kerjasama untuk menjatuhkan PM kerajaan pimpinan PN iaitu Muhyiddin, demi membentuk kerajaan yang baru.

“Selain itu, SD (Akuan Bersumpah) yang ditandatangani oleh sekumpulan pemimpin UMNO yang diuar-uarkan sebelum ini juga telah terbukti benar,” kata artikel itu.

Justeru, dakwa artikel itu, DAP bukan sahaja mengetepikan prinsip mereka di Perak dengan menjalinkan kerjasama dengan UMNO, mereka sebenarnya sudah lama merancang untuk membentuk kerajaan Persekutuan dengan UMNO.

Namun, artikel itu mendakwa, yang sukar untuk dipercayai ialah mereka boleh bekerjasama dengan pemimpin UMNO yang dihimpit skandal rasuah dan dilabelkan sendiri oleh DAP sebagai perompak.

“Sebelum ini Lim Kit Siang telah berikrar, DAP tidak akan bekerjasama dengan UMNO, terutamanya dengan Najib dan Zahid yang terpalit dengan skandal rasuah, rupa-rupanya semua ini hanyalah berlakon.

“DAP langsung tidak kisah sama ada Najib dan Zahid adalah ‘perompak’ asalkan mereka dapat membentuk kerajaan baru, demi jawatan menteri mereka tidak kisah untuk mengenepikan prinsip mereka.

“Akhirnya, kerjasama ini gagal, puncanya bukan kerana DAP menolak kerjasama dengan UMNO ‘perompak’, tapi kerana bantahan dalam UMNO, majoriti pemimpin akar umbi membantah kerjasama dengan DAP, itulah punca sebenar kenapa kerjasama tersebut gagal,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button