Berita Utama

Gencatan politik atau PRU, mana satu pilihan PM?

Warisan lihat UMNO, Bersatu takkan bertanding sebagai satu pasukan

KOTA KINABALU, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Perdana Menteri disyorkan memilih antara dua pilihan iaitu sama ada melakukan gencatan politik atau mengumumkan pilihan raya, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mewujudkan gencatan politik bersama UMNO dan pihak pembangkang untuk memberi fokus kepada mentadbir negara dalam tempoh pandemik COVID-19.

Ini kerana, katanya senario ketika ini, tidak memungkinkan pilihan raya untuk diadakan dalam masa terdekat.

“Pilihan kedua adalah mengumumkan pilihan raya serentak dengan PRN Sarawak antara Jun dan Ogos. Ini bermaksud semua parti akan aktif berpolitik pada bulan-bulan seterusnya,” katanya.

Beliau mengesyorkan perkara demikian selepas berpandangan bahawa kedudukan Muhyiddin tidak kukuh susulan krisis politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan penyingkiran Menteri Besar Perak pada 4 Disember lalu melalui tindakan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan bahawa hubungan antara UMNO dan Bersatu sangat rapuh.

“Semakin terbukti bahawa UMNO dan Bersatu tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang sebagai satu pasukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button