Berita Utama

Hanya diam membisu, kerajaan Pahang terus ‘dibuli’ penceroboh haram

Kenapa EXCO, pemimpin tempatan takut tegak kedaulatan tanah air sendiri?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUANTAN, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Senario kawalan ketat di setiap penjuru kawasan termasuk sekitar simpang masuk ke tanah pencerobohan di Raub, Pahang seperti didakwa Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) dalam laporan sebelum ini, hanya menggambarkan kegagalan kerajaan Pahang menjaga kedaulatan negeri.

Apa yang rakyat negeri ini boleh lihat dalam situasi ini adalah kerajaan Pahang telah ‘dibuli’ oleh penceroboh tanah kebun durian Musang King, demikian kata Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor.

Lebih dikesali, katanya, sehingga kini tiada seorang pun Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) mahupun pemimpin-pemimpin tempatan membuka mulut membicarakan isu ini. 

“Kita sebagai rakyat negeri Pahang berasa risau dengan kebisuan mereka. Takut sangatkah untuk menegakkan kedaulatan tanah air sendiri? Masih berfungsikah unit penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG)? 

“Apakah fungsi Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 (yang menyebutkan bahawa tanah yang sedang dipohon tetapi masih tiada keputusan/kelulusan masih berstatus tanah kerajaan dan sesiapa yang mengusahakannya boleh dijatuhi hukuman maksimum denda maksimum RM500,000 dan satu tahun penjara). 

“Apakah yang menjadikan kerajaan Pahang begitu naif dan tidak mampu menyelesaikan masalah ini?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Norman berkata, dengan kuasa yang telah diamanahkan oleh rakyat Pahang, kerajaan negeri sepatutnya bertindak mengarahkan atau berbincang dengan pihak keselamatan seperti polis atau tentera untuk menjaga tanah yang diceroboh sementara menunggu keputusan rayuan mahkamah.

“Tetapi mereka telah hilang patriotisme. Mereka tak nak berjuang mempertahankan tanah air. Mereka sanggup biarkan sahaja tanah diceroboh. Mereka diam dan lihat sahaja.

“Sebenarnya, mereka mempertaruhkan maruah dan kewibawaan mereka di hadapan pengundi-pengundi mereka. Rakyat Pahang sedang menilai mereka. 

“Rakyat mengharapkan pemimpin yang baik dan tegas, namun apa yang terjadi di depan mata sebaliknya,” katanya.

Kecewa dengan situasi itu, beliau mendakwa bahawa pengundi-pengundi di Pahang telah tersalah pilih pemimpin yang sepatutnya boleh diharapkan untuk menjaga kedaulatan negeri.

“Kita berharap, peristiwa pencerobohan tanah seperti ini membuka minda para pengundi dan rakyat Pahang untuk memilih pemimpin yang berani, tegas dan berwibawa dalam pilihan raya yang akan datang tak berapa lama lagi. 

“Apa yang berlaku di depan mata kita hari ini biarlah menjadi pengajaran.

“Sekali lagi, kita mendesak kerajaan Pahang bertindak tegas ke atas penceroboh tanah secara haram di Raub dengan menguatkuasakan Akta Kanun Tanah Negara (KTN) 1965,” katanya.

BERITA BERKAITAN:

‘Penceroboh tanah Raub kawal di setiap penjuru macam mereka punya’

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button