Berita Utama

UMNO dah jangka, PN pula hargai keputusan PAS

Ego dua parti berseteru 'kuburkan' impian penyatuan ummah

BANGI, 16 Rabiulawal 1444H, Khamis – UMNO sudah menjangkakan keputusan PAS Pusat untuk terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi keputusan itu, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Hakikatnya, UMNO tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran,” dakwa Ahmad Zahid dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghargai keputusan Jawatankuasa Pusat PAS untuk memperkukuh kerjasama dalam gabungan berkenaan.

“Keputusan ini memberikan suntikan semangat kepada Perikatan Nasional untuk bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu-padu dalam meraih sokongan rakyat.

“Secara peribadi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setia kawan yang ditunjukkan Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan rakan-rakan pimpinan PAS yang terus istiqamah mempertahankan kerjasama PAS dalam Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, PAS memuktamadkan untuk terus memperkukuh kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15, sekali gus menjawab kata dua yang diberikan UMNO sebelum ini.

Sebelum ini, PAS mengimpikan gabungan dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah panji penyatuan ummah untuk menghadapi pilihan raya.

Bagaimanapun, ‘ego’ dua parti berseteru antara UMNO-Bersatu menyebabkan PAS terhimpit dan menguburkan impian parti itu bersama di bawah satu agenda.

Berita berkaitan; 

PAS pilih Bersatu, kukuh kerjasama dalam PN

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button