Berita Utama

Kes naik mendadak, Bukit Aman pertingkat pemeriksaan patuh SOP

Perjumpaan sosial dalam jumlah besar juga akan jadi tumpuan

KUALA LUMPUR, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Bukit Aman telah mengarahkan semua kontinjen polis negeri untuk meningkatkan pemeriksaan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 berikutan peningkatan kes yang mendadak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan petugas operasi pematuhan akan ditingkatkan, terutama di kawasan yang sesak dan tempat tumpuan orang ramai.

“Pasukan petugas yang diketuai oleh polis akan meningkatkan pemeriksaan dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, polis Kelantan baru-baru ini mengeluarkan kompaun kepada mereka yang terlibat dalam festival air di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan buku mengenai sejarah Pasukan Gerakan Am (GOF) di ibu pejabatnya di Cheras, hari ini.

Beliau berkata, arahan tersebut telah disampaikan kepada semua kontinjen polis.

“Kami akan menumpukan pada semua sambutan yang melibatkan perjumpaan sejumlah besar orang di mana jarak fizikal tidak diendahkan,” katanya.

Walaupun beberapa peningkatan kes COVID-19 melibatkan kelompok daripada tapak pembinaan, Acryl Sani mengatakan bahawa orang ramai mesti mematuhi SOP untuk memastikan virus tidak tersebar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di seluruh negara.

“Berdasarkan pemerhatian saya, jarak fizikal semakin sering diabaikan. Kita mesti memastikan bahawa masyarakat mematuhi SOP untuk menghentikan penyebaran virus,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button