Berita Utama

Misi Bantuan Banjir ISMA 2021 sasar RM500,000 bantu mangsa

Beri fokus 2 fasa bantuan iaitu sewaktu serta pasca banjir

BANGI, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – gerakan yang prihatin dengan nasib rakyat – melancarkan Misi Bantuan Banjir 2021 bagi membantu mangsa yang terjejas di negeri-negeri Pantai Timur dan Perak.

Memandangkan banjir di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak bertambah buruk berikutan hujan lebat yang berterusan, ISMA menyasarkan kutipan dana sebanyak RM500,000 bagi menampung keperluan mangsa seperti kit kebersihan, air minuman, makanan, selimut dan dapur gas.

Pengarahnya, Mohd Noor Azib Asmangi berkata, misi bantuan itu memfokuskan kepada dua fasa iaitu sewaktu dan pasca banjir di Temerloh, Raub, Kuala Lipis, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman, Kota Bharu, Rantau Panjang, Kota Tinggi dan Kluang.

“Bantuan semasa banjir akan merangkumi bantuan makanan, air mineral kepada penduduk yang masih berada di rumah tetapi terputus hubungan dan bekalan makanan.

“Manakala, bantuan selepas banjir pula menyasarkan projek pembersihan rumah penduduk dan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir, melibatkan seramai 500 orang sukarelawan di seluruh negara untuk bersama masyarakat bergotong-royong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Misi yang digerakkan oleh Skuad Relawan Muda, Pemuda ISMA itu turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Ikhlas dan Yayasan Maghfirah.

Sehubungan itu, ISMA berbesar hati sekiranya ada pihak swasta atau perseorangan yang ingin bersama-sama membantu dengan menghulurkan sumbangan wang ringgit ke akaun Maybank Yayasan Ikhlas 5628 3463 6228 mahupun CIMB Yayasan Maghfirah 8603221427.

“ISMA juga dengan hati terbuka bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuklah NGO-NGO dan badan berwajib untuk menjayakan Misi Bantuan Banjir ISMA 2021 ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button