Berita Utama

Penyeludup ambil kesempatan redah Sg Golok ketika banjir

Mereka seberang masuk guna bot galah ke kawasan sempadan

KUANTAN, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Keadaan paras air yang meningkat akibat banjir yang berlaku di Kelantan diambil kesempatan oleh penyeludup untuk melintasi sempadan Sungai Golok, Thailand-Kelantan bagi menjalankan aktiviti haram mereka.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar yang mendedahkan perkara itu berkata keadaan itu menyebabkan semakin banyak laluan air yang boleh dilalui oleh penyeludup.

“Ini memberi peluang kepada (penyeludup) menyeberang masuk menggunakan bot galah ke kawasan yang lebih luas daripada kawasan rondaan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Lebih memburukkan keadaan apabila tujuh pos kawalan PGA di tepi sungai berkenaan turut ditenggelami air dan PGA terpaksa membuat rondaan di kawasan lain menggunakan bot,” katanya kepada Bernama sempena lawatan kerja beliau di Kem Galing, PGA Briged Tenggara dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini.

Berikutan itu, katanya PGA mengambil langkah proaktif dan menukar strategi dengan memindahkan anggota PGA ke kawasan yang sesuai untuk rondaan bagi mengesan jalan-jalan tikus yang baharu.

Selain itu, Abd Rahim memaklumkan akan membina subtek (pusat operasi) bagi memantau dan mempertingkatkan rondaan di kawasan sempadan yang terjejas akibat banjir.

“Jabatan KDNKA turut dibekalkan sebanyak 150 kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger pada Disember tahun lepas untuk PGA melaksakan rondaan mengesan jalan tikus dan operasi benteng,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button