Berita Utama

Umat perlu realisasikan ekosistem ekonomi Islam

Kuasa berbelanja muslim cukup kuat jika disatukan

BANGI, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Kuasa pengguna yang ada pada tangan umat Islam di negara ini cukup hebat jika digunakan sebaik-baiknya.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, tanpa mengira mana-mana kelas berpendapatan sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20, penyatuan kuasa berbelanja umat Islam sebenarnya cukup kuat jika disatukan sepenuhnya.

Namun katanya, ramai yang tidak yakin pada ekonomi Islam tanpa riba mampu dilakukan kerana mungkin umat tidak tahu pun di mana mahu bermula.

“Dan usaha ini yang sudah pun bermula (di Malakat Mall) sebenarnya adalah untuk menyatukan kuasa pengguna sehingga kita semua dapat manfaatnya.

“Biar Allah tengok dahulu usaha kita. Untuk kita dapat kasih sayang Allah ..untuk kita keluar daripada riba,” katanya seperti dipetik Malakat Tribune, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha mewujudkan ekosistem ekonomi Islam perlu direalisasikan bagi menyelesaikan lebih banyak isu yang didepani umat Islam pada hari ini.

Salah satu daripadanya adalah isu penyelewengan status halal dalam import bekalan daging beku yang didedahkan media.

Mohd Fadzil berkata, masalah ini sudah berpuluh tahun, apabila umat Islam menyerahkan urusan makanan mereka kepada orang yang bukan tidak Islam sehingga sanggup menyeleweng.

“Selama ini kita meletakkan keyakinan kepada jaminan halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tapi kita tidak pernah menyelidik soal siapa yang mengendalikan sumber makanan kita

“Jakim sudah mengeluarkan piawaian atau standard kawalan halal yang baik, tapi masalahnya kita tidak pernah fikir jauh sikit daripada itu iaitu soal kepercayaan sehingga berserah kepada orang yang tidak beriman dan tidak amanah,” katanya.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button