Berita Utama

UMNO ulang pendirian takkan kerjasama dengan PKR, DAP

Dakwaan terdapat cubaan jatuhkan kerajaan PN tak tepat

BANGI, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – UMNO tidak pernah memutuskan untuk mengadakan sebarang rundingan bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bahkan dalam majlis terbuka dan tertutup di hadapan kepimpinan parti pelbagai peringkat – termasuk baru-baru ini – Presiden UMNO berkali-kali mengatakan beliau tidak akan menjalin kerjasama dengan DAP, demikian kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Malah, sehingga hari ini Majlis Kerja Tertinggi meneruskan kelangsungan keputusan dasar parti yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung UMNO 2019, yakni tiada kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, katanya.

Katanya lagi, selagi dasar itu tidak diubah, seluruh saf kepimpinan masih berpegang kepada keputusan itu.

“Jika UMNO mahu menjalin kerjasama dengan DAP, ia mempunyai peluang sewaktu pertukaran Menteri Besar di Perak. Perkara itu tidak berlaku.

“Selain itu, dakwaan bahawa terdapat percubaan demi percubaan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga tidak tepat.

“…memandangkan sepanjang proses undian untuk Belanjawan 2021, ahli-ahli Parlimen UMNO mendukung dan meluluskannya di setiap bacaan dan setiap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dukungan dan undian itu tetap dizahirkan meskipun dalam hal tertentu, jelas terdapat ketidakpuasan hati dari pihak UMNO berhubung pelbagai isu baik dari segi pertalian politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahupun dalam soal dasar kerajaan.

“Maka, jelas sekali selama ini UMNO mendukung kerajaan PN demi kemaslahatan rakyat dan negara yang masih dilanda ancaman wabak COVID-19,” katanya.

Berhubung dakwaan kononnya kepimpinan Presiden ‘flip flop’ dalam keputusan berhubung Muafakat Nasional (MN), Shahril menegaskan barisan kepimpinan UMNO sentiasa konsisten mahu memperkasa MN dan mengukuhkan pertalian bersama PAS – tanpa UMNO menjadi ahli komponen PN.

“Pendirian ini tegas, jelas dan konsisten sepanjang masa,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, konflik dalaman UMNO semakin meruncing sehingga menyaksikan Tan Sri Annuar Musa digugurkan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Kemelut kian berpanjangan apabila Annuar mengesahkan wujud sokongan secara hitam putih membabitkan pemimpin tertinggi UMNO, kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Terbaharu, media melaporkan 189 bahagian UMNO mahu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button