Berita Utama

Darurat kecemasan atas dasar kesihatan wajar disegerakan

Kerajaan perlu utamakan pertimbangan rakyat berbanding ekonomi

BANGI, 25 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Melihat kepada peningkatan mendadak kes COVID-19 wujud keperluan kerajaan mencadangkan pelaksanaan darurat kecemasan berlandaskan kepada penghidupan ekonomi atas dasar kesihatan yang terjejas kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ditambah dengan keadaan semasa yang memperlihatkan berlakunya kejadian banjir di beberapa buah negeri, selain masyarakat yang semakin melupakan tentang aspek perintah kawalan pergerakan (PKP) pelaksanaan darurat kecemasan dilihat sebagai wajar pada ketika ini.

Pengamal perundangan, Datuk Salehuddin Saidin berkata, terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 150(1)(2) yang menunjukkan Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan darurat atas dasar penghidupan ekonomi, pertimbangan kesihatan dan keselamatan.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar darurat hanya dilakukan sekiranya PKP secara bersasar berdepan dengan kegagalan dalam pelaksanaannya.

“Saya rasa memang patut sangat kalau isytihar darurat sekarang, tengok jumlah (kes COVID-19) yang semakin bertambah. Mungkin bukan di seluruh negara tapi tempat-tempat yang sangat terkesan.

“Takut nanti suatu ketika bila pesakit COVID-19 makin bertambah masalah hospital kita tak cukup , bila hospital tak cukup dan kita ada krisis.

“Bila kita tak boleh tangani masalah menempatkan pesakit ini semua sistem akan lumpuh, bila sistem lumpuh kita sudah tidak boleh kawal lagi COVID-19 ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Salehuddin berkata, beliau memahami dilema yang dialami oleh kerajaan dalam mengambil keputusan untuk melaksanakan darurat kerana dibimbangi memberi kesan kepada ekonomi negara.

Dalam hal ini, beliau berpendapat, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan rakyat berbanding impak ekonomi yang bakal dirasai.

“Kita kena pertimbangkan antara kesihatan dan juga ekonomi, ekonomi kita boleh pulih dalam masa tertentu. Tetapi kalau kesihatan, jika semua rakyat terkena ini (COVID-19), kematian dan sebagainya macam mana nak pulihkan ekonomi.

“Pertimbangan antara ekonomi dan kesihatan, saya lebih memilih kesihatan. Macam kita ada duit tapi kesihatan tak bagus, apa guna ada duit pun,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau menggesa, supaya dalam keadaan sekarang pemimpin jangan terlalu banyak berpolitik dan memberikan sepenuh perhatian kepada kebajikan rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button