Berita Utama

Projek Bantuan Mangsa Banjir Pahang 2021 bantu 100 keluarga terjejas

Program libat kerjasama ISMA, BERJASA, i-Medik serta iGuru

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 25 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Orang ramai dirayu untuk menghulurkan sumbangan supaya dapat meringankan beban keluarga yang terjejas akibat banjir di Pahang.

Jawatankuasa Pelaksana Projek Bantuan Mangsa Banjir Pahang 2021, Dr Mohd Hanis Mohd Nor berkata, setakat ini hampir 100 keluarga telah menerima bantuan.Katanya, sebanyak 100 pek barangan keperluan harian seperti makanan dan beras diagihkan ke tiga kawasan termasuk Air Hitam, Gudang Rasau dan Jaya Gading.

“Kami akan meneruskan lagi misi esok dan minggu depan. Masih ramai lagi keluarga yang memerlukan bantuan.

“Kebanyakan rumah masih belum dibersihkan kerana khuatir gelombang kedua banjir. Bantuan berupa pembersihan akan dijalankan selepas banjir betul-betul reda.

“Saya berharap supaya banjir segera reda dan lebih ramai dapat menyumbangkan sumbangan supaya lebih ramai keluarga dapat dibantu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Projek Bantuan Mangsa Banjir Pahang 2021 melibatkan kerjasama antara Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuantan, Pemuda ISMA Kuantan, Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Pahang dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pahang.

Turut serta menjayakan projek itu Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Pahang.

Antara tokoh-tokoh yang turun padang membantu mangsa banjir termasuk Yang Dipertua ISMA Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor; Ketua Wanita ISMA Kuantan, Ustazah Norhayati Ahmad Salleh; Ketua Biro Dakwah ISMA Kuantan, Ustaz Mohd Ali Abdullah serta Naib Presiden I-Medik, Dr Rozanizam Zakaria.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5560 9322 2786 di atas nama Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Kuantan (Rujukan: Banjir).

Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi sukarelawan agihan barangan sumbangan dan kerja pembersihan rumah mangsa boleh hubungi Hafiz di talian 011 7032 2441 untuk pendaftaran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button