Berita UtamaIstimewa

Bahas usul penceroboh di PAU, UMNO jangan fikir ‘survival’ saja

Bawa juga usul berkenaan tanah rizab, selain hubungan dengan MCA

BANGI, 25 Jamadilawal 1442H, Sabtu – UMNO sepatutnya membangkitkan isu kepentingan orang Melayu berbanding politik dan ‘survival’ mereka dalam Perhimpuan Agung UMNO (PAU) hujung bulan ini.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, perhimpunan itu juga adalah masa sesuai bagi UMNO Pahang membangkitkan isu-isu pencerobohan tanah di negeri itu yang semakin membarah untuk diberi perhatian oleh UMNO Pusat dan seluruh ahlinya.

“Lihatlah apa yang terjadi di Raub. Lihatlah bagaimana kerajaan negeri dibuli oleh penceroboh-penceroboh dengan ‘game’ (permainan) mereka.

“Kerana sedarlah secara tidak langsung sebenarnya yang dibuli ialah UMNO negeri Pahang itu sendiri, “ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, usul memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sambil mempertahankan kerjasama dengan PAS akan dibawa ke PAU.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, ia bagi membolehkan usul itu diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan Perlembagaan parti.

Katanya, usul mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) mengambil kira sentimen permuafakatan yang sudah dibina ketika 22 bulan bersama sebagai pembangkang.

Selain itu, menggesa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, tertakluk kepada situasi COVID-19.

Kesal dengan perkara itu, Aminuddin berkata, alangkah baik sekiranya UMNO mengangkat usul mengenai isu tanah-tanah rizab Melayu yang hilang dan tinggal hanya kurang 12 peratus.

Katanya, parti itu juga sepatutnya memikirkan cara untuk mengembalikan tanah-tanah rizab berkenaan.

“Dalam beberapa juta ahli UMNO, saya harap ada sekurang-kurangnya seorang yang berani membangkitkannya,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut menyarankan UMNO mengangkat mengenai hubungannya dengan MCA dalam perhimpunan itu selain Bersatu.

Dakwanya, MCA bukan sahaja memberi mudarat kepada UMNO, malah orang Melayu juga.

“Rakyat sedang memerhati, apakah PAU kali ini hanya membincangkan mengenai politik dan survival UMNO semata-mata?

“Rakyat sedang menilai UMNO. Apakah mereka masih kisah tentang nasib dan survival orang Melayu di negara kita, bukannya isu perebutan jawatan dan pilihan raya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button