Dunia

COVID-19: Jangkitan di Thailand lepasi 10,000 kes

212 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam terakhir di negara itu

BANGKOK, 25 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Jumlah kes COVID-19 di Thailand telah melepasi 10,000 dengan 212 kes baharu dilaporkan hari ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi bagi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada 212 kes baharu itu, 193 adalah penularan tempatan dan 19 kes import manakala sifar kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlahnya kepada 10,053 kes dan 67 kematian.

“Sejak pertengahan Disember, wabak itu telah merebak ke 58 wilayah di negara ini,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam memaklumkan wabak terkini itu berkemungkinan reda pada hujung Januari.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata 20 wilayah di negara ini tidak melaporkan kes baharu selama tujuh hari.

“Jika kita meneruskan usaha mengehadkan penularan wabak, kita akan melihat penurunan jumlah kes baharu harian menjelang hujung bulan ini.

“Pada waktu ini, kita boleh katakan bahawa kita telah melakukan langkah-langkah yang baik untuk mengawal wabak ini,” katanya.

Thailand, negara pertama di luar China yang mengesan kes COVID-19 pada Januari tahun lepas dan berjaya memastikan penularan jangkitan pada kadar rendah sehingga pertengahan Disember.

Wabak terkini di pasar makanan laut di Samut Sakhon menyaksikan jumlah kes COVID-19 meningkat kepada 5,604 kes dalam tempoh kira-kira tiga minggu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button