PAS konsisten perkasa MN, pertahan PN
PAS komited untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti

KUALA LUMPUR, 25 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Mesyuarat bulanan pimpinan PAS Pusat hanya mesyuarat bulanan biasa, kata Ahli Jawatankuasanya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau menafikan mesyuarat itu membincangkan mengenai keretakan hubungan di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), disebabkan enggan mencampuri urusan kedua-dua parti berkenaan.
“Kita tidak bincang (pertelingkahan UMNO dan Bersatu). kita hanya mesyuarat biasa saja. Hanya mesyuarat bulanan, (bincang) laporan biasa setiap bulan.
“(Isu antara UMNO dan Bersatu) itu urusan dalaman mereka,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Pada masa sama, Khairuddin berkata, PAS konsisten dengan pendirian untuk memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).
Hal ini selepas UMNO meluluskan untuk membawa usul memutuskan hubungannya dengan Bersatu ke Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini.
Jelasnya, tidak timbul soal PAS perlu memilih untuk bekerjasama dengan UMNO atau Bersatu buat masa ini, kerana PAS komited untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti itu, menerusi MN dan PN.
“Itu adalah ‘tagline’ yang digunakan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), memperkasakan MN dan mempertahankan PN,” katanya.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kelmarin memutuskan usul hubungan dengan Bersatu sambil mempertahankan kerjasama dengan PAS, akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hujung bulan ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, 143 dari 191 ketua UMNO bahagian seluruh negara menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
PAS bekerjasama dengan UMNO dalam MN, sebelum turut menyertai PN yang didaftarkan secara rasmi sebagai gabungan politik.