Berita Utama

Pejuang timbang bertanding PRU15 atas tiket PAN?

Tolak kerjasama kelompok sokong pimpinan kleptokrat

BANGI, 25 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Tawaran dari parti Parti Amanah Negara (PAN) untuk masuk dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) atas tiket parti itu boleh ditimbang tara sekiranya tidak meletakkan syarat tertentu.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan, sekiranya PAN tidak meletakkan syarat tiada kerjasama dengan kelompok menyokong kepemimpinan kleptokrat, beliau akan memikirkan perkara itu.

“Seperti mana yang kita semua ingat, pada PRU14 hari itu kami semua bertanding di bawah lambang Parti Keadilan Rakyat. Mungkin itu satu kaedah, iaitu calon-calon daripada Pejuang ini bertanding menggunakan lambang daripada parti lain tapi perlu ada persetujuan dengan tuan punya parti itu.

“Satu lagi yang biasa dibuat, ketua parti iaitu presiden parti biasanya yang akan menandatangani watikah calon sebelum itu boleh berlaku rundingan kerusi (tapi) belum sampai tahap tu lagi.

“Namun demikian apabila ada ura-ura pilihan raya akan berlaku tidak lama lagi, maka saya ingat kita dah kena segerakanlah,” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Selasa lalu, Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mempelawa Pejuang untuk menyertai parti itu dalam PRU15 sekiranya penubuhan parti itu gagal dalam permohonan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Terdahulu, RoS menolak permohonan pendaftaran Pejuang yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sebuah parti politik.

Serentak itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mengkritik sistem keadilan yang diamalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini kerana didakwa bersifat ‘double standard’.

Katanya, perkara itu terbukti apabila PN dapat didaftarkan hanya dalam tempoh tujuh hari berbeza dengan Pejuang yang masih belum diluluskan walaupun telah lama membuat permohonan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button