Dunia

Pesawat Sriwijaya Air dikhuatiri terhempas di Kepulauan Seribu

Nelayan menemukan beberapa serpihan kecil terapung di perairan

JAKARTA, 25 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Sebuah pesawat komersial Sriwijaya Air dikhuatiri terhempas di perairan Kepulauan Seribu selepas hanya empat minit berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta menuju ke Pontianak, hari ini.

Ketua Polis Metro Jaya (Jakarta) Yusri Yunus dipetik media tempatan, berkata terdapat maklumat awal daripada nelayan di kawasan berkenaan yang mendakwa pesawat berkenaan terhempas di perairan itu.

Menurut laporan televisyen tempatan, yang menyiarkan video yang dirakam nelayan, menunjukkan mereka (nelayan) menemukan beberapa serpihan kecil terapung di perairan berkenaan.

“Ketika ini pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pelbagai agensi telah ke lokasi perairan berkenaan,” kata Yusri.

Setakat jam 7 petang (waktu Indonesia Barat), belum ada penyataan rasmi daripada Kementerian Perhubungan (Pengangkutan) atau syarikat penerbangan Sriwijaya Air, berkaitan dakwaan nelayan berkenaan.

Pesawat jenis Boeing 737-500 itu membawa 62 penumpang termasuk lima anak kapal dilaporkan terputus hubungan dengan kawalan lalu lintas udara selepas berlepas jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat.

Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur.

Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button