Berita Utama

PRU15 bukan keutamaan, politikus diminta ingati teguran Agong

Beri tumpuan selesai isu COVID-19, musibah banjir di beberapa negeri

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 25 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Semua ahli politik diminta untuk mengingati semula teguran Yang di-Pertuan Agong berkenaan kemelut politik negara.

Oleh yang demikian, desakan supaya diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat bukanlah suatu keutamaan pada ketika ini.

Pemerhati politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, perkara yang perlu menjadi tumpuan adalah isu penularan wabak COVID-19 dan musibah banjir.

Beliau juga menyifatkan, setakat ini tiada keperluan kepada pelaksanaan gencatan politik melibatkan parti-parti bertelagah.

“Tidak perlu ada campur tangan Agong kecuali jika kes meningkat mendadak dan tidak terkawal, malah PRU juga boleh ditangguhkan.

“Kerajaan ada masa tangguh PRU dan tak perlu tergesa-gesa kerana kita nampak seolah-olah kerajaan harus bubar Parlimen dan adakan PRU pada masa terdekat.

“Sedangkan hakikatnya mereka ada masa beberapa tahun lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dr Syed Agil turut menyarankan ahli politik menyelesaikan beberapa masalah kritikal negara terlebih dahulu sebelum berhasrat membubarkan Parlimen.

“Dan harap mereka tak terus timbulkan kontroversi-kontroversi atau konflik politik yang boleh meresahkan rakyat.

“Malah, kita juga tak mahu ahli politik tertumpu mendesak kerajaan membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU, kerana ini bukan masa terbaik untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button