Berita Utama

Filem Mat Kilau janjikan pengalaman beza kepada penonton

Beri inspirasi, mampu semarak rasa cinta kepada agama dan bangsa

BANGI, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara hari ini menjanjikan suatu pengalaman berbeza dan kepuasan kepada penonton yang menonton filem epik berkenaan.

Ini kerana, kisah realiti sejarah yang diangkat ke layar perak itu dijamin mampu menaikkan ‘bulu roma’ mereka yang menontonnya, selain menyemarakkan lagi rasa cinta kepada agama dan bangsa.

Penerbit Filem Mat Kilau, Abdul Rahman Mat Dali berkata, bukan hanya pada kisahnya, tetapi susuk tubuh lelaki yang dikatakan sebagai ‘hero’ akan memberikan inspirasi serta contoh terhadap semangat pejuang dahulu apabila kebebasan dan kedaulatan tanah air dicabar.

“Kemungkinan ramai yang menyerah dan gentar selepas melihat musuh.

“Tetapi dalam konteks Mat Kilau ialah seorang yang tidak rela tunduk kepada cengkaman luar yang tiba-tiba datang tidak diundang,” katanya dalam satu temubual khas bersama TV Pertiwi.

Lebih menarik lagi, Pengarah dan pemilik Studio Kembara itu berkata, filem ini mengikut pendedahan, aras pemikiran dan sejauh mana keprihatinan penonton terhadap isu yang berlaku dahulu dan sekarang.

“Mat Kilau ini menonjolkan tokoh yang sempurna. Rela membela tanah air bahkan sanggup bersusah payah.

“Dia boleh membuat pilihan menerima satu kuasa besar dunia ketika itu tetapi dia memilih untuk menentang dan mencabar,” katanya.

Dalam konteks sejarah tanah air pula, Abdul Rahman berkata, ramai lagi pejuang seperti Mat Kilau, justeru pihaknya berhasrat untuk menampilkan lagi tokoh yang memberikan inspirasi.

“Tujuan Studio Kembara ingin mencetuskan konten sekarang dan akan datang ialah satu harapan melakar impian supaya kita menjadi bangsa yang terhormat, bermaruah dan ada harga diri,” katanya.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Filem itu menelan belanja sebanyak RM 8 juta dan menjalani penggambaran selama 100 hari menampilkan bintang hebat Datuk Adi Putra (Mat Kilau), Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Ia turut membarisi pelakon luar iaitu aktor dari Indonesia, Yayan Ruhian.

Tonton temubual penuh di sini;

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button