Dunia

COVID-19: Rakyat Malaysia antara 4 kes bergejala di Singapura

Semalam negara jiran itu melaporkan sejumlah 29 kes baharu

SINGAPURA, 26 Jamadilawal 1442H, Ahad – Seorang wanita berusia 20 tahun merupakan salah seorang daripada kes import bergejala di Singapura pada Sabtu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Dilabel sebagai Kes 59,117, wanita tersebut merupakan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia, menurut kenyataan MOH dalam data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Tiga lagi kes import bergelaja melibatkan dua kes dengan sejarah perjalanan ke India dan seorang ke UK.

Pada tengah hari Sabtu, negara itu melaporkan sejumlah 29 kes baharu, kesemuanya kes import dan tiada yang melibatkan komuniti dan asrama pekerja, menjadikan keseluruhan kes berjumlah 58,865 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, 25 merupakan kes tidak bergejala dan telah dikesan menerusi saringan aktif dan pemantauan kementerian itu.

MOH menyatakan yang mereka juga sedang menyiasat tiga kes COVID-19 yang bekerja di Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi, yang turut melibatkan Kes 59,059, seorang wanita Malaysia berusia 43 tahun.

“Daripada siasatan awal, kami tidak menolak kemungkinan jangkitan boleh berlaku di hotel tersebut,” menurut kementerian itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH menyatakan Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi telah diminta untuk ditutup selama 14 hari sehingga 21 Jan, termasuk restoran dan kawasan acara.

Kementerian itu menyatakan yang mereka telah melengkapkan operasi ujian terhadap 234 kakitangan yang bekerja di hotel itu untuk COVID-19.

“Semua keputusan menunjukkan negatif jangkitan COVID-19,” menurut MOH.

Singapura ketika ini mempunyai tiga kluster dengan satu berkaitan New Ocean 6, sebuah kapal tangki ‘bunker’ dikendalikan Palmstone Tankers & Trdg Pte Ltd di Pelabuhan Singapura. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button