Berita Utama

Ramai lagi MP UMNO ikut Ahmad Jazlan tarik diri sokong PN?

'UMNO tidak terlibat dalam perkara ini': Tajuddin Abdul Rahman

PASIR SALAK, 26 Jamadilawal 1442H, Ahad – Beberapa Ahli Parlimen UMNO dijangka menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ia mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang berbuat demikian semalam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengakui mendengar ura-ura isu berkenaan, namun tiada pengesahan mengenai identiti wakil rakyat terbabit.

Beliau berkata, tindakan Ahmad Jazlan itu menjadi pencetus kepada perubahan Ahli Parlimen UMNO.

Bagaimanapun, katanya, tindakan berkenaan bukan berdasarkan keputusan parti, sebaliknya bergantung kepada individu berkenaan.

“UMNO tidak terlibat dalam perkara ini. UMNO buat keputusan kita bersama Bersatu sehingga pilihan raya, itu keputusan parti.

“Kalau pilihan raya bulan Mac… bulan Mac (kekal bersama Bersatu)… kalau bulan Jun, bulan Jun.

“(Saya) Dengar cerita ada, dengar cerita… tak tau siapa, dengar ceritalah. Ini (susulan) apa yang berlaku… dilakukan oleh Datuk Jazlan tu sebagai ‘trigger’, dia pencetus kepada perubahan,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Pada Sabtu, Ahmad Jazlan dalam sidang media di Kota Bharu mengumumkan menarik balik sokongannya kepada kerajaan PN.

Pendirian Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu menyaksikan kerajaan PN ketika ini memiliki sokongan 110 daripada 220 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button