Berita Utama

Agong boleh kekalkan kerajaan PN jika Muhyiddin hilang sokongan

Memandangkan tiada tokoh lain layak jadi PM bentuk kerajaan sementara

BANGI, 26 Jamadilawal 1442H, Ahad – Negara masih mempunyai pilihan lain selain Perdana Menteri meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah hilang sokongan majoriti. 

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pilihan lain itu adalah mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk mengekalkan kerajaan sedia ada sebagai ‘kerajaan sementara’. 

Ini memandangkan, tiada tokoh lain yang jelas boleh menggantikan Perdana Menteri, dan ketidaksesuaian mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya pilihan membubarkan Parlimen dibuat ketika negara berdepan COVID-19. 

“Pilihan lain adalah di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Antaranya ialah mengekalkan kerajaan sedia ada sebagai sebuah kerajaan sementara. 

“Sementara di sini bermaksud, kerajaan yang dibenarkan terus bertahan sementara menunggu waktu sesuai diadakan pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Dr Muhammad Fathi berkata, kerajaan sementara boleh berfungsi selama mana belum ada calon lain yang mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. 

Bagaimanapun, kerajaan sementara boleh ‘tumbang’ jika berlaku undi tidak percaya di Parlimen, katanya. 

“Ringkasnya, dengan kehilangan sokongan majoriti ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya. 

“Berdasarkan realiti wabak COVID-19 dan ketiadaan tokoh lain yang mendapat sokongan majoriti, maka kerajaan Perikatan Nasional wajar terus bertahan sebagai sebuah kerajaan sementara. 

“Memandangkan halanggan utama kepada PRU ialah wabak COVID-19 adalah wajar satu badan bebas yang berkepakaran diwujudkan untuk memberikan syor kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan kewajaran mengadakan pilihan raya umum. Cara ini dapat memastikan agar kepentingan rakyat diutamakan mengatasi kepentingan politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button