Berita Utama

Isu sokong PN: Sebarang keputusan UMNO dibincang di pucuk pimpinan

Keputusan Ahmad Jazlan tarik sokongan terhadap PN akan dibincang UMNO

KOTA BHARU, 26 Jamadilawal 1442H, Ahad – Sebarang perkara yang berlaku dalam UMNO mesti diputuskan di peringkat tertinggi parti, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO itu berkata, keputusan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berhubung penarikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), semalam akan dibincangkan dalam pucuk pimpinan UMNO.

“Saya hanya baca pendirian Datuk Ahmad Jazlan melalui media semalam. Kita tidak tahu apa yang berlaku sama ada perkara berkenaan sudah dibincangkan di peringkat UMNO negeri.

“Sebab itu, sebarang perkembangan yang berlaku di peringkat parti, kepimpinan tertinggi akan berbincang,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Ketika ditanya pendirian beliau terhadap kerajaan PN, Ismail Sabri berkata, beliau tidak boleh ada pendirian sendiri atau peribadi, sebaliknya perlu bergantung pendirian parti.

Sebelum ini, Ahmad Jazlan mengumumkan keputusannya menarik diri daripada menyokong kerajaan PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menjelaskan, surat makluman tindakan itu akan dihantar kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan segera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button