Berita Utama

KPWKM wujud Skuad Prihatin Negara bantu mereka terkesan banjir

Pewujudan sebagai tanda prihatin kerajaan terhadap isu rakyat

KOTA TINGGI, 26 Jamadilawal 1442H, Ahad – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mewujudkan Skuad Prihatin Negara (SPN) dalam usaha membantu golongan yang terkesan banjir.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata skuad kesukarelawan dan kebajikan itu dianggotai warga kerja kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang awam.

Beliau berkata pewujudan SPN adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap isu-isu dan permasalahan rakyat dengan melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan sebagai menepati hasrat untuk mendampingi rakyat di peringkat akar umbi.

“Menyedari akan keperluan semasa negara yang berhadapan dengan bencana banjir yang telah menjejaskan kehidupan seharian sebahagian rakyat Malaysia, kementerian mengambil inisiatif mewujudkan SPN dalam usaha membantu golongan yang terkesan semasa dan pascabanjir.

“Sebagai permulaan, sukarelawan Skuad Prihatin Negara dipelopori oleh warga kerja KPWKM sendiri untuk membantu komuniti yang terjejas di daerah Kota Tinggi,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata SPN memberi perkhidmatan berasaskan komuniti lebih mesra dan praktikal kepada rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata skuad itu dijadual dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Pelancaran Kembara Prihatin Negara pada 15 Jan di Pagoh.

“Diharapkan agar pelaksanaan program ini dapat meringankan beban mangsa banjir yang terjejas di samping dapat mengembalikan semangat gotong-royong serta amalan tolong-menolong berganding bahu, agar yang berat menjadi ringan,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan SPN boleh berhubung dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang terdekat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button