Berita Utama

Kurangkan politik, perpaduan Melayu makin renggang!

'Lebih baik kita berbaik-baik daripada tak habis-habis berbalah'

BANGI, 26 Jamadilawal 1442H, Ahad – Semua pihak tidak sepatutnya bermain politik ketika perpaduan dalam kalangan orang Melayu semakin renggang.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Keterah, Tan Sri Annuar Musa berharap, segala permasalahan yang melanda dibawa berbincang demi kepentingan rakyat.

“Ambo (saya) merasakan saat banjir melanda, ketika penularan COVID-19 semakin bahaya, perpaduan Melayu makin renggang semula kita sepatutnya tidak terlalu main politik.

“Tapi bekerja untuk rakyat jelata, tolong rakyat..kalau ada masalah, kita bincanglah bersama.

“Ambo tidak fikir kalau ambo jadi hero ke arah perpecahan, ia bawa kebaikan kepada sesiapa,” katanya menerusi hantaran bertajuk Warkah Kepada Rakyat Parlimen Ketereh di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Annuar berkata, beliau tidak perlu tunjuk hebat dengan menggugat kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibina bersama.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu turut menegaskan tidak perlu berbuat demikian kerana taksub kepada sesiapa kerana baginya paling utama adalah membela nasib rakyat.

“Dalam kawasan kita, ada PAS, ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan berbilang bangsa. Lebih baik kita berbaik-baik daripada tak habis-habis berbalah sesama kita.

“Mungkin cara ambo tak bisa (hebat), tak nampak berani untuk gomo (lawan) sesama kita, tidak hebat dengan meletak jawatan dan gugat pemerintahan.

“Tapi ambo tetap berpegang, orang Islam apabila diuji dengan kuasa dan amanah di tangan, berpegang teguhlah pada tali Allah dan jangan bercerai-berai,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button