Berita UtamaIstimewa

Malaysia perlu aktor, gagasan politik baharu untuk akhiri kemelut

Pemimpin, parti politik sedia ada dah tamat tempoh sah laku: Amir ISMA

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Jamadilawal 1442H, Ahad – Tiada jalan penyelesaian mudah untuk mengakhiri kemelut politik negara melainkan dengan wujudnya kerajaan interim di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Apatah lagi, ketidaktentuan politik yang berlaku ketika ini memberi bayangan akan berterusan untuk tempoh lama, dan berisiko memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi serta menggugat keselamatan negara.

Atas sebab itu, hanya dengan wujudnya kerajaan interim di bawah Yang di-Pertuan Agong sahaja menjadi pilihan yang ada untuk meredakan kemelut – perebutan kuasa yang berlaku sejak Februari tahun lalu, kata Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Beliau berkata, negara kini memerlukan pembentukan politik baharu, di mana ia dianggotai oleh ‘aktor’ serta gagasan yang baharu.

“Parti dan aktor politik sedia ada sudah tamat tempoh sah laku. Semua parti-parti yang ada sudah hilang idealisme dan hala tuju perjuangan.

“Sebaliknya, yang ada hanya kerangka besar yang masih ada pengikut taksub yang mencari makan dan pemimpin yang ada mereka yang mengambil kesempatan atas reputasi silam parti-parti itu untuk kepentingan peribadi masing-masing,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, sekalipun wujud pakatan baharu selepas ini, ‘aktor’ atau pemimpinnya akan tetap dengan perangai yang sama iaitu mudah ‘melompat’, ‘dibeli’ dan menjatuhkan antara satu sama lain.

“Sebab itu rakyat perlu faham dan harus berfikir secara merdeka.

“Keluar daripada ketaksuban dan mula melakar semula politik baharu dengan agenda dan pimpinan yang baru,” katanya.

Kebelakangan ini, suasana politik negara kembali ‘panas’ apabila desas-desus wujud dua kem di dalam UMNO yang menolak dan menyokong kerajaan ditadbir Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, Ahli Parlimen UMNO juga didakwa ada yang mula menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin, sekali gus menjadikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berisiko berakhir.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button