Berita Utama

PKRC MAEPS tak menakutkan, selesa, bersih

Warga tempatan diasingkan daripada warga asing

BANGI, 26 Jamadilawal 1442H, Ahad – Seorang pesakit yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) berkongsi pengalaman ketika berada di sana.

Pesakit berkenaan, Afifie Chan dalam perkongsiannya di laman Twitter berkata, keadaan di pusat kuarantin itu tidak menakutkan, selesa dan bersih.

“Yang gantung-gantung kain putih kat katil tu sebab lampu ‘on’ 24 jam. So silau. Haha,” katanya.

Jelasnya, pusat kuarantin berkenaan menyediakan enam buah tandas di dalam dewan, manakala setiap tandas mempunyai kira-kira empat hingga enam kubikel.

Setakat ini, katanya, beliau tidak pernah lagi beratur atau terpaksa tunggu untuk masuk ke dalam tandas.

“Condition inside one of the toilet cubicle. Clean and well-maintained. Selesa nak buat business and mandi. Jangan la expect cam tandas kat hotel,” katanya.

Afifie yang ditahan di pusat kuarantin berkenaan sejak 7 Januari lalu, berkata, individu-individu yang dikuarantin diberi makan sebanyak tiga kali sehari.

Katanya, makanan akan dihantar ke setiap katil selain petugas dan pesakit akan tolong antara satu sama lain ketika pengagihan makanan.

Jelasnya, warga tempatan turut diasingkan dengan warga asing di dewan berbeza bagi memudahkan urusan pendaftaran, pemerhatian dan pengumuman.

“Panas ke dalam dewan tu? Sejuk sampai boleh beku. Hahaha. Selesa serious.

“Kipas ke aircond? Tak seperti yang orang gambarkan. Kat sini pakai aircond on 24 jam. Sejuk dan selesa. Sakai jap tengok aircond dia ni. Haha,” katanya.

Bukan itu sahaja, Afifie berkata, terdapat dua ruang solat disediakan dan mereka dibenarkan solat berjemaah setiap waktu.

“Azan pun berkumandang dalam dewan. Dah lama tak nampak jemaah macam ni,” katanya sebak.

Katanya lagi, pusat kuarantin itu turut menyediakan stesen pengecas telefon bimbit di setiap dewan.

“So far tak ada kes lagi and I hope memang tak ada la. Alhamdulillah,” katanya.

Selain itu, katanya, apabila terdapat individu baharu ditahan di pusat kuarantin berkenaan, pintu akan dibuka dan diselangi dengan kesan bunyi.

“Macam dalam movie. Saya panggil ni pintu Maze Runner. Sorakan tu untuk bagi semangat pada yang baru masuk supaya diorang tak rasa takut. What a spirit in here,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa video dikongsi netizen. Video tersebut menunjukkan keadaan pusat kuarantin di PKRC MAEPS yang sesak dengan pesakit COVID-19.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) semalam, menjelaskan video tular yang menunjukkan kesesakan di PKRC MAEPS tidak menggambarkan situasi sebenar.

Ini kerana menurut Nadma, kandungan video itu tidak menunjukkan keseluruhan dewan penempatan pesakit COVID-19 selain tidak disertakan penerangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button