Berita Utama

Relawan Muda ISMA bekal sejuta liter air untuk mangsa banjir Pahang

2 lori tangki, 10 tangki statik dipinjamkan kepada PAIP

BANGI, 26 Jamadilawal 1442 H, Ahad – Relawan Muda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membantu Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) membekalkan sejuta liter air bersih kepada mangsa banjir di negeri itu.

Sebanyak dua buah lori tangki air berkapasiti 70,000 liter dihantar oleh Relawan Muda ISMA bagi kegunaan PAIP untuk membawa air bersih dari loji utama ke beberapa rumah di sekitar kawasan terjejas.

Ketua Koordinator Bencana, Mohd Soufi Annual berkata, sebanyak 10 tangki air statik berkapasiti 2,000 liter juga disumbangkan di daerah Raub hasil sumbangan daripada Yayasan Maghfirah dan Aman Palestin.

“Kerjasama dengan PAIP ini diharapkan dapat mengatasi masalah yang sedang dihadapi dari sudut pengurusan penghantaran tangki air statik dan lori tangki air ke Pahang.

“Relawan Muda ISMA juga akan menggerakkan 2,730 sukarelawan untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah dan kawasan setempat yang terjejas akibat banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Soufi berkata, setakat semalam, dianggarkan sebanyak 210,000 liter air sudah disalurkan ke seluruh negeri Pahang.

Manakala, 60 tangki air statik akan dipinjamkan PAIP ke Temerloh dan Pekan untuk dimanfaatkan kepada 200,000 mangsa seluruh negeri, katanya.

“ISMA turut berbesar hati sekiranya ada pihak swasta, perseorangan atau sesiapa sahaja yang ingin bersama-sama menghulurkan sumbangan wang ringgit kepada rakan kerjasama iaitu Yayasan Maghfirah (CIMB- 8603221427).

“ISMA juga dengan hati terbuka bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuklah NGO-NGO dan badan berwajib untuk menjayakan Misi Bantuan Banjir ISMA 2021 ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh Relawan Muda ISMA.

“Terima kasih sangat kepada ISMA kerana membantu kita, dan diharap sentiasa dapat membantu kami yang sangat memerlukan bantuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button