Berita UtamaDunia

Pertahan tanah, rakyat Palestin maut ditikam penceroboh Israel

Tentera rejim Zionis halang mangsa dihantar ke hospital

BAITULMAQDIS, 22 Zulkaedah 1443H, Rabu – Seorang lelaki Palestin maut selepas ditikam oleh penceroboh haram Israel, semalam.

Kementerian Kesihatan berkata, Ali Hassan Harb, 27, disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Martyr Yasser Arafat di Salfit di Tebing Barat yang diduduki.

Bapa saudara mangsa, Naim Harb, yang berada di lokasi kejadian ketika insiden itu berlaku memberitahu Middle East Eye bahawa keluarga mangsa menerima panggilan bahawa sekumpulan peneroka sedang menyerang tanah keluarga – yang bersebelahan dengan penempatan Israel Ariel.

Bahkan peneroka haram sedang merobohkan rumah kayu yang dibina oleh keluarga di sana.

Harb berkata, keluarganya dan sejumlah penduduk kampung – kira-kira 10 orang termasuk Ali – bergegas ke tanah itu untuk mempertahankannya.

Peneroka itu beredar apabila melihat mereka menghampiri namun kembali beberapa saat kemudian diiringi anggota keselamatan penempatan itu, yang mula melepaskan tembakan ke udara.

Seorang askar Israel juga tiba bersama mereka.

Peneroka kemudian meneruskan serangan mereka, menyerang lelaki Palestin sebelum tiba-tiba salah seorang peneroka mendekati Ali dan menikamnya.

Naim mengesahkan bahawa tentera Israel menahan Ali selama kira-kira setengah jam dan menghalang keluarga daripada menghantarnya ke hospital, yang membawa kepada kematiannya.

“Semua yang berlaku adalah di bawah perlindungan tentera Israel dan keselamatan penempatan, yang melihat serangan peneroka dan tidak menghalang mereka.

“Peneroka dan tentera adalah satu jentera pembunuh yang ditujukan kepada kami rakyat Palestin,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button