Berita Utama

1 kes COVID-19 varian UK dikesan di Malaysia

Seorang pengembara positif wabak, telah diasingkan untuk rawatan lanjut

KUALA LUMPUR, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin – Satu kes COVID-19 varian UK B.1.1.7 atau 202012/01 mutasi protein Spike telah dikesan di Malaysia hari ini melibatkan seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada bulan lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun laman sosial Facebook beliau berkata, pengembara tersebut didapati positif COVID-19 pada 28 Disember lepas dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut.

“Sejak Oktober 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk dari United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini tiada penularan dalam negara telah dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7 tersebut.

Sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober 2020 dan telah melakukan penjujukan genom bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel, katanya.

Beliau berkata KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak menyebabkan gejala yang teruk namun ia boleh menular dengan mudah dan cepat.

Beliau berkata, orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button