Berita Utama

Banjir besar patut jadi ‘hantukan kuat’ pada pemegang kuasa

Jangan kerana kerakusan seorang dua, rakyat marhaen menderita

BANGI, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin – Pelik apabila kerajaan negeri Pahang masih tidak bertegas terhadap penceroboh tanah, walhal ramai pakar menyuarakan kerisauan terhadap penggondolan hutan dan kaitannya dengan banjir dari sudut sains.

Antara mereka yang berhujah adalah Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer dan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail.

Dr Nor Shahidah dilaporkan berkata, penduduk kawasan ‘rentan’ di negeri Pantai Timur Semenanjung, khususnya Pahang, berdepan risiko banjir teruk setiap tahun sekiranya aktiviti ‘pembersihan hutan’ dibiar berterusan, tanpa sistem tadahan air sebagai ‘pelampung’.

Katanya, banjir yang melanda tidak akan seteruk sekarang, jika pembersihan hutan khususnya pembalakan dilakukan secara terancang dan terkawal.

Sementara Prof Dr Ahmad Ismail pula berkata, penerokaan haram dan pembangunan yang tidak terancang boleh menyumbang kepada banjir.

Mengulas perkara itu, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya mengingatkan semula apa yang diperkatakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan dalam kes pencerobohan tanah Raub pada bulan lalu, bahawa tanah yang diceroboh itu adalah kawasan tadahan air, justeru, kerajaan perlu mengambil serius akan perkara ini.

Namun apa yang menyedihkan baginya apabila penceroboh di Raub masih lagi bebas menjarah tanah selepas mendapat ‘greenlight’ dari Mahkamah Rayuan minggu lalu.

“Kita semua juga tahu, bahawa bukan hutan di Raub sahaja yang diceroboh dengan skala yang teramat besar tetapi hampir di semua daerah di Pahang.

“Bacalah berita, di Pahang, berlakunya pencerobohan hutan dan tanah untuk menjarah pelbagai hasil secara haram seperti balak, emas dan sebagainya.

“Itu apa yang dilaporkan di media, yang tidak dilapor memang banyak lagi. Tanyalah anak-anak Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama Haji Aminuddin yang juga Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, isu korupsi dalam hal-hal mengenai tanah bukanlah perkara yang baharu, malah ianya suatu rahsia yang diketahui oleh semua.

“Bahkan, pastinya ada petualang-petualang dari kalangan politikus membuatkan korupsi itu semakin subur.

“Akhirnya yang menderita adalah rakyat di kampung-kampung tetapi pada masa yang sama petualang-petualang itu duduk selesa menikmati kekayaan di kawasan yang selamat, di atas kerusi empuk tanpa rasa serba salah sambil menghitung kekayaan.

“Jangan hanya kerana kerakusan seorang dua, rakyat marhaen yang menderita. Bertindaklah. Apa lagi alasan yang mahu kita berikan? Apakah banjir besar ini tidak cukup untuk menginsafkan kita semua?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button