Berita UtamaDunia

Israel enggan vaksin tahanan Palestin, 5 organisasi hantar petisyen ke mahkamah

Menteri Israel dakwa vaksin tahanan bukan keutamaan mereka

BAITULMAQDIS, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin – Lima organisasi hak asasi manusia yang berpusat di wilayah Palestin yang diduduki menggesa vaksinasi COVID-19 diberikan kepada tahanan Palestin.

Persatuan Hak Sivil, Doktor untuk Hak Asasi Manusia, Adalah, Pusat Pertahanan Individu, dan juga Rabbis untuk Hak Asasi Manusia mengemukakan petisyen ke Mahkamah Agung Israel.

Sebelum ini, Menteri Keselamatan Awam Israel, Amir Ohana, mengatakan vaksinasi tahanan itu bukan prioriti mereka.

Lima organisasi meminta mahkamah memerintahkan Israel Prison Service (IPS) untuk memberi vaksin kepada semua tahanan, tidak kurang juga dari mereka yang berusia lebih dari 60 tahun.

Adalah mendakwa, sikap menteri Israel itu melanggar hak perubatan tahanan, dan bertentangan dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Israel serta etika perubatan profesional yang menjamin tindakan yang sama untuk semua orang.

Akhir bulan lalu, pihak berkuasa penjara Israel menutup penjara Ramon setelah mengesan beberapa jangkitan coronavirus di kalangan tahanan dan pengawal.

Persatuan Tawanan Palestin (PPS) mengatakan pada 27 Disember, penutupan itu adalah ‘petunjuk serius mengenai kemungkinan wabak yang meluas di antara para tahanan.’

Jumaat lalu, Ohana mengulangi bahawa dia kekal dengan keputusannya untuk tidak memberikan vaksin kepada tahanan Palestin.

Menteri itu menegaskan bahawa pemberian vaksin hanya akan dipertimbangkan setelah semua anggota penjara dan juga seluruh populasi Israel selesai divaksin.

Awal bulan ini, Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila memberi amaran mengenai wabak virus yang merebak dengan pantas di pusat-pusat penahanan Israel yang padat.

Kaila dalam satu kenyataan pada 3 Januari lalu menyatakan bahawa penjara Israel adalah pusat berpotensi wabak, terutama orang tua dan orang sakit, berisiko tinggi.

Menteri itu menyatakan pihak berkuasa Israel bertanggungjawab atas nyawa tahanan Palestin, terutama mereka yang dipenjarakan di Penjara Ktzi’ot, di mana lebih dari 1,200 tahanan kini ditahan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button