Berita Utama

KKM disyor ubah dasar pesakit COVID-19 tahap 1, 2 dikuarantin di rumah

Kurangkan beban petugas, elak fasiliti melebihi tahap maksimum

KUALA LUMPUR, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin – Pesakit COVID-19 tahap satu dan dua tidak perlu ke hospital, sebaliknya hanya dikuarantin di rumah, demikian cadangan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Pesakit COVID-19 tahap satu merujuk pada individu dijangkiti yang tidak bergejala dan tahap dua pula adalah bergejala ringan.

Dr Zainal Ariffin berkata, pesakit tahap satu dan dua boleh dikuarantin di rumah kerana tidak memerlukan pemantauan doktor.

Katanya, perubahan dasar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) penting bagi mengurangkan beban petugas kesihatan selain mengelak fasiliti kesihatan seperti katil, ruang wad dan alat bantuan pernafasan melebihi tahap maksimum jika kes baharu terus merekodkan pertambahan mendadak.

“Kita harap dasar ini diubah dan hanya masukkan pesakit yang teruk ke hospital kerana jumlah pesakit baharu ketika ini terlalu ramai dan fasiliti tidak mencukupi.

“Ketika ini, kira-kira 70 hingga 80 pesakit adalah dalam tahap satu dan dua. Tiada keperluan untuk mereka memenuhi hospital, cukup dikuarantin di rumah dengan kawalan kendiri,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, baru-baru ini mengenai kes COVID-19 diunjur mencecah 8,000 sehari pada Mac jika nilai kebolehjangkitan (RO) melepas kadar 1.2.

Khamis lalu, Malaysia merekodkan jumlah kes harian COVID-19 tertinggi dengan 3,027 jangkitan sejak ia mula dikesan di negara ini pada 25 Januari tahun lalu.

Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin berkata, perubahan dasar itu perlu disusuli tindakan memperketatkan prosedur dan pengawasan bagi individu yang dikuarantin di rumah.

“Kuarantin di rumah perlu diperketat dan pengecualian hanya kepada kes tertentu seperti individu tiada rumah, warga asing atau rumah terlalu sesak. Mereka ini boleh ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya.

Tegasnya, langkah ketiga bagi mengatasi lonjakan kes adalah dengan menambah jumlah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di setiap negeri.

Katanya, ketika ini terdapat pesakit tahap rendah di Melaka dilaporkan terpaksa ditempatkan di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Selangor atau pesakit di Bentong dihantar ke Kuantan.

“Ini tidak praktikal kerana pesakit terpaksa menempuh perjalanan dalam dua jam, lebih baik dibuat seperti pusat pemindahan banjir iaitu PKRC ditambah di negeri.

“PKRC ini boleh menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, jadi ia tidak membebankan jumlah petugas perubatan kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button