Negara penjajah Israel lulus 800 unit penempatan haram
‘Kami tetap akan bangunkan tanah Israel’: Netanyahu

BAITULMAQDIS, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin – Pemimpin negara penjajah Israel, Benjamin Netanyahu hari ini meluluskan pembinaan 800 unit penempatan haram baharu di Tebing Barat yang diduduki.
Melalui ciapan di laman Twitter dalam bahasa Yahudi, Netanyahu berkata, penempatan haram itu dibangunkan di kawasan Judea dan Samaria.
“Kami akan tetap membangunkan tanah Israel,” katanya.
Menurut Perbadanan Penyiaran Awam Israel, unit-unit baru turut akan dibina di penempatan haram di Tebing Barat utara.
Keputusan Netanyahu itu diumumkan beberapa hari sebelum pelantikan Presiden Amerika Syarikat (AS) baharu, Joe Biden.
Sebelum ini, Presiden AS Donald Trump menyokong pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat, sementara Biden menyuarakan penentangan terhadap kegiatan itu ketika kempen pilihan raya.
Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dianggap sebagai wilayah yang diduduki di bawah undang-undang antarabangsa, menjadikan penempatan orang Yahudi di sana tidak sah. -Agensi