Berita UtamaPendapat

Lubnan menuju ‘failed state’ akibat permainan kuasa blok luar

Lubnan kini dihimpit di segenap sudut krisis politik, ekonomi, sosial

PADA tanggal 5 Ogos 2020, seluruh dunia dikejutkan dengan satu kejadian letupan besar yang berlaku di Beirut, Lubnan.

Menurut kenyataan daripada Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab mengatakan letupan ini berpunca daripada tempat simpanan yang menyimpan sebanyak 2, 750-ton ammonium nitrate dan sudah disimpan sejak 2014 lagi.

Ini seterusnya menolak andaian bahawa ini berpunca daripada pengganas seperti yang ditegaskan oleh Mejar Jeneral Abbas Ibrahim yang merangkap sebagai ketua keselamatan awam Lubnan. Setakat laporan hari ini (8 Ogos 2020), insiden ini mengakibatkan kemalangan jiwa seramai 100 orang dan 4,000 orang pula didapati cedera parah.

Apabila kita melihat kesan letupan sedemikian, keadaan tak saling tumpah seperti kesan tinggalan perang.

Namun tahukah anda bahawa Lubnan sudah pun melalui beberapa siri peperangan yang mengakibatkan Lubnan hampir menuju kemusnahan secara total.

Walaupun Lubnan sudah pun mengecapi kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1943 iaitu 14 tahun lebih awal berbanding kita namun masalah perebutan kuasa dalam kalangan rakyat Lubnan masih belum selesai.

Untung pengetahuan semua, demografi masyarakat Lubnan terdiri daripada pelbagai aliran agama iaitu Maronite, Greek Orthodox, Greek Catholic, Armenian Orthodox, Armenian Catholic, Protestan, Sunni, Syiah dan Druze.

Hasil daripada perjanjian kemerdekaan yang dibuat bernama Al-Mithaq Al-Watani, kerajaan Lubnan membahagikan kuota dan nisbah tertentu mengikut etnik dalam barisan Kabinet.

Dalam barisan kabinet Lubnan, jawatan Presiden harus dipegang oleh individu yang beragama Kristian Maronite, jawatan Perdana Menteri dipegang oleh Sunni dan Yang Dipertua Parlimen dipegang oleh Syiah.

Kristian Maronite juga memegang jawatan Ketua Tentera dan aliran Kristian yang lain iaitu Greek Orthodox memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan yang Dipertua Parlimen.

Kerusi Parlimen Lubnan juga dibahagikan mengikut nisbah mengikut agama. Dalam jumlah 99 kerusi parlimen, 54 kerusi diperoleh oleh ahli parlimen yang beragama Kristian dan 45 kerusi kepada ahli parlimen beragama Islam.

Namun demikian, kemasukan pelarian Palestin akibat penjajahan Israel ke atas tanah Palestin telah pun mengubah komposisi masyarakat Lubnan.

Masyarakat Kristian Lubnan berasa terancam dengan meningkatnya peratusan penduduk Islam iaitu daripada 40 peratus kepada 75 peratus penduduk Lubnan.

Ini akan dikhuatiri menghilangkan hak masyarakat Kristian sebagai majoriti di Lubnan maka tercetuslah perang saudara dari tahun 1975 hingga 1990.

Gambar 2: Perang Saudara Lubnan 1975-1990 memperlihatkan persaingan antara etnik di Lubnan untuk berkuasa dalam kerajaan. (Sumber: Al Jazeera)

Peperangan yang mengambil masa 15 tahun ini juga membuka peluang kepada kuasa luar yang ingin memperluaskan pengaruh mereka di Lubnan.

Antara kuasa luar yang awal memperluaskan pengaruh dalam arena politik Lubnan ialah Israel dan Syria. Jika lihat dalam sudut geogarfi, Lubnan berada di tengah-tengah antara Israel dan Syria.

Israel berada di selatan Lubnan dan Syria berada di utara dan barat Lubnan.

Jadi penglibatan Israel dan Syria dalam perang saudara ini seakan-akan ingin mempengaruhi Lubnan untuk dijadikan proksi mereka.

Israel dan Syria dapat menggunakan Lubnan sebagai penampan jika tercetusnya konflik peperangan antara mereka berdua.

Sejarah permusuhan antara Israel dan Syria tidak dapat dinafikan hasil daripada Perang Arab-Israel dan Syria masih menyimpan dendam terhadap Israel lagi-lagi apabila Bukit Golan kepunyaan asal Syria dirampas oleh Israel akibat kalah dalam perang itu.

Gambar 3: Lubnan menjadi rebutan Israel dan Syria untuk dijadikan sebagai penampan dan benteng mereka. (Sumber: Worldometer)

Akhirnya, Perang Saudara Lubnan telah mencapai titik noktahnya apabila termeterainya Perjanjian Taif pada Oktober 1989. Nisbah kerusi parlimen juga diubah daripada 6:4 kepada 5:5.

Maka kedua belah pihak iaitu Kristian dan Islam akan menduduki kerusi parlimen secara sama adil dan sama rata.

Melalui Perjanjian Taif ini juga Syria dapat memainkan peranannya dalam politik Lubnan dan ini menunjukkan Syria berjaya mempengaruhi politik Lubnan.

Ini mungkin disebabkan oleh sentimen Syiah yang turut mendapat tempat dalam kalangan rakyat Lubnan yang beraliran Syiah.

Kita mungkin berpendapat kemasukan Syria dalam kancah politik Lubnan akan diterima baik secara majoriti di sana namun ianya silap.

Sudah muncul sentimen anti-Syria melalui parti politik tertentu di Lubnan seperti Lebanese Forces, Kataeb dan Future Movement.

Namun, terdapat juga parti-parti yang pro-Syria seperti Hezbollah, Amal, Free Patriotic Movement dan Azm.

Di sini kita dapat lihat walaupun Syria sudah berjaya menamatkan perang saudaranya namun mereka masih belum bebas daripada cengkaman kuasa negara luar.

Syria telah membuka pintu kepada Iran untuk turut memperluaskan pengaruhnya di Lubnan dan Iran telah pun membantu dalam membentuk pasukan paramilitari Syiah iaitu Hezbollah.

Penubuhan Hezbollah dilihat tidak lain dan bukan sebagai satu alat untuk Iran dan Syria menyerang Israel dengan menggunakan proksi.

Penguasaan Hezbollah di selatan Lubnan telah mendatangkan masalah kepada keselamatan sempadan Israel di utara. Akhirnya, Perang Lubnan-Israel 2006 telah tercetus di antara 12 Julai hingga 14 Ogos.

Gambar 4: Hezbollah menggunakan sentimen agama bagi mendapatkan sokongan penuh daripada dunia Islam untuk menyerang Israel. (Sumber: Middle East Eye)

Akibat daripada konflik dalaman dan luaran, Lubnan dipalit dengan krisis ekonomi yang parah sehingga kerajaan dipimpin Perdana Menteri waktu itu, Saad Hariri mendapat tentangan keras oleh rakyat yang melakukan demonstrasi.

Kadar pengangguran dalam kalangan belia kian meningkat dan pengenalan cukai yang menindas menjadikan ekonomi Lubnan kian parah. Melihat kepada penolakan rakyat terhadap kerajaan, Saad Hariri bertindak melarikan diri ke Arab Saudi untuk mendapatkan perlindungan.

Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Arab Saudi ditambah pula dengan latar belakangnya yang beraliran Sunni. Dengan adanya hubungan bersama Arab Saudi, ia seakan-akan mengajak Arab Saudi untuk campur tangan dalam isu politik Lubnan dan ini sudah pasti tidak disenangi oleh seterunya iaitu Iran.

Sehingga kini, walaupun kerajaan Lubnan telah digantikan dengan kerajaan baru dibawah Hassan Diab, perbincangan antara Lubnan dan Arab Saudi masih dilakukan terutamanya dalam menyentuh soal bantuan kewangan yang boleh diberikan oleh Arab Saudi kepada Lubnan.

Arab Saudi memberikan respon akan membantu Lubnan dalam soal ekonomi namun ingin melihat terlebih dahulu pelan reformasi kewangan daripada kerajaan Lubnan.

Kesimpulan

Lubnan sudah menderita daripada segi konflik etnik, peperangan dan krisis ekonomi yang amat teruk berbanding krisis ekonomi sewaktu perang saudara. Boleh dikatakan Lubnan kini dihimpit di segenap sudut daripada krisis politik, ekonomi sehingga sosial.

Hal ini boleh dilihat apabila nisbah hutang GDP Lubnan adalah ketiga tertinggi di dunia dan kadar pengangguran mencapai 25% serta hampir satu per tiga penduduk di bawah garis kemiskinan. Apabila ekonomi bermasalah maka kestabilan politik akan terjejas seterusnya berkemungkinan etnik-etnik di Lubnan pasti akan mengambil peluang untuk menguasai kerajaan.

Dalam usaha Lubnan untuk mencari jalan penyelesaian keluar daripada permasalahan ini, nasib mereka sungguh malang kerana dijadikan bidak catur oleh blok-blok luar terutamanya Iran dan Syria. Mereka seakan-akan diperangkap oleh orang luar dan menunjukkan kedaulatan mereka sudah dicalit maruahnya.

Dengan berlakunya tragedi kecuaian letupan Lubnan ini, dapat dilihat bertapa parahnya sistem politik Lubnan yang sudah pun menjadi failed state. Akibat campur tangan kuasa luar, tergadai maruah negara.

Imran Hakimi
Kolumnis Fokus
Pelajar Jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button