Berita Utama

Pemandu redah banjir, ingkar amaran akan didenda

Jalan ditutup, lencongan disediakan tapi ada pemandu tetap redah hingga kenderaan hanyut

CHUKAI, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin – Polis Terengganu tidak akan berkompromi dengan mereka yang meredah air banjir, walaupun papan tanda amaran sudah dipasang di kawasan bencana.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengingkari amaran.

Beliau berkata demikian susulan terdapat beberapa kes di Terengganu di mana pemandu mengambil risiko meredah laluan yang dinaiki air walaupun jalan sudah ditutup dan lencongan disediakan sebagai laluan alternatif.

“Sebelum ini, kita tidak ambil apa-apa tindakan namun selepas ini tindakan akan diambil mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat papan tanda.

“Bagi kesalahan itu, individu yang ingkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300. Kita tidak akan bagi peluang dan memaafkan mana-mana individu yang berdegil dan ingkar dengan arahan diberikan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak tiga kes kenderaan meredah banjir direkodkan dengan semua kes berlaku di daerah Kemaman.

BH melaporkan bahawa kejadian terbaharu berlaku kelmarin apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan air di bawah jambatan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Chukai.

Beliau berasa kesal apabila masih ada segelintir pihak mengambil risiko walaupun pelbagai peringatan diberikan bukan sahaja daripada pihak polis namun pihak berkuasa yang lain.

“Kita berulang kali mengingatkan pemandu atau penunggang tidak mengambil risiko walaupun laluan itu adalah jalan yang biasa dilalui sebelum ini.

“Air banjir ini biasanya keruh dan kita tidak nampak keadaan sebenar jalan yang mungkin sudah runtuh atau rosak disebabkan banjir seterusnya berbahaya untuk pengguna jalan raya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button