Berita Utama

Permit import syarikat terbabit kartel daging haram akan dibatalkan

JPV sedang nilai senarai semua pengimport daging sejuk beku

PUTRAJAYA, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin –  Permit import (AP) syarikat yang didapati terbabit dalam kartel pengedaran daging sejuk beku menggunakan logo halal palsu akan dibatalkan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, berkata, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut menilai senarai semua pengimport daging sejuk beku.

Kiandee memberi jaminan bahawa pihak yang terlibat dalam isu kartel tersebut akan diambil tindakan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat.

“Pihak JPV sebenarnya sedang meneliti senarai syarikat pemegang AP di seluruh negara dan jika ada terlibat, kementerian ini tidak teragak-agak akan menarik permit mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Amanat Tahun 2021 dan melancarkan Kalam Antirasuah Kementerian itu di Wisma Tani, hari ini.

Mengulas lanjut, Kiandee seperti dilapor Utusan berkata, siasatan terperinci masih lagi dijalankan dan pihaknya tidak akan bertolak ansur jika ada kakitangan kementerian itu sendiri yang terbabit dalam isu berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh dedah sebab nanti ganggu siasatan, tetapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang meneliti isu ini,” katanya

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button