Artikel Khas

Benarkah perkataan keling sensitif?

Sampai bila nak tunduk kepada ultra kiasu, walhal kita di pihak benar?

NAK jadi apa dengan Malaysia ni? Perkataan keling pun tak boleh tulis dan sebut, sedangkan mahkamah putuskan boleh? Dari segi epistimologinya pun tiada masalah.

Bagaimana dengan nama Zainal Kling, Masjid Kapitan Keling. Apakah selepas ini tidak boleh digunakan ‘keling’ itu.

Seorang aktivis masyarakat India semalam mengecam Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung definisi perkataan ‘tambi’ dalam laman sesawang jabatan tersebut yang didakwa sebagai menghina masyarakat India di Malaysia.

Ini selepas DBP memberi definisi kepada perkataan ‘Tambi’ sebagai: “panggilan untuk orang Keling yang lebih muda daripada kita”.

Isunya bukan perkataan ‘tambi’ tetapi ‘keling’. Sekali lagi kita membuang masa dengan membicarakan soal istilah. Sedangkan banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian.

Lebih ekstrem lagi, beliau akan menghantar satu notis kepada DBP menuntut permohonan maaf kepada orang ramai. Kerajaan harus melihat perkara ini dan memberi amaran kepada semua sektor kerajaan dan separa sektor untuk melarang pengunaan kata-kata menghina terhadap mana-mana kaum di Malaysia.

Hebatkan? DBP diminta minta maaf, kerajaan diberikan amaran, sedangkan perkataan ini sudah sah boleh digunakan.

Beliau ini siapa? Beliau ada baca buku ke tidak?

Dahulu, perkataan keling ini adalah perkara ini, langsung tidak sensitif. Tiba-tiba semenjak dua menjak ini, perkataan keling menjadi sensitif.

Sebelum itu, ada beberapa laporan polis telah dibuat terhadap mereka yang menggunakan perkataan keling. NGO lapor polis kes Zaidi sebut ‘keling’ (Malaysiakini 2 Disember 2014). Ayatnya berbunyi:

“Jadi ini menunjukkan bahawa Melayu Pulau Pinang tak kiralah mamak ke, keling ke, menyokong Umno di Pulau Pinang.”

Dalam kes lain, berita bertajuk, DAP: Dr M perlu henti guna ‘keling’ (Malaysiakini 10 April 2018). Antara kata-kata Dr M, “Saya nak guna perkataan Keling. Orang Keling kata, ‘podah’.

Pemimpin ultra kiasu Pulau Pinang memberi amaran kepada Dr M supaya menghentikan penggunaan keling.

Kita pun tunduk dan akur. Inilah hebatnya rakyat Malaysia, demi orang lain, sanggup berkorban. Saya tabik.

Sedangkan, pada 14 Mei 2009, Mahkamah Tinggi memerintahkan bahawa penggunaan istilah ‘keling’ dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga dibenarkan kerana ianya adalah untuk tujuan pembelajaran.

Hakim Lau Bee Lan, yang memutuskan demikian dalam kamar, kemudian menolak rayuan Angkatan Pelopor India Muslim Selangor dan Wilayah Persekutuan (APIM) terhadap keputusan Penolong Pendaftar Kanan (SAR) Mahkamah Tinggi, Nik Tsfahanie Tasnim. (Mstar 14 Mei 2009)

Pada 29 Disember, 2006, Nik Tsfahanie Tasnim membenarkan permohonan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membatalkan saman pemula terhadapnya berhubung istilah ‘keling’ yang difailkan oleh APIM yang didakwa menghina masyarakat India di negara ini.

Menurut peguam DBP, Md Radzi Mustafa, hakim Lau dalam penghakimannya juga menyatakan penggunaan istilah ‘keling’ dalam kamus itu bukan ‘mala fide’ (niat jahat) kepada mana-mana pihak dan DBP hanya melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan.

Katanya hakim juga berpendapat saman pemula APIM itu adalah mudah dan tidak mempunyai peluang untuk berjaya.

Ditanya sama ada istilah ‘keling’ masih digunakan dalam kamus edisi keempat, Md Radzi ia masih digunakan tanpa sebarang contoh perkataan.

Pada 22 Disember 2005, Pengerusi APIM Ramli @ Mohd Othman Ravinthranath Abdullah menyaman DBP dan lima yang lain berhubung istilah tersebut.

Antara lain, Ramli memohon supaya istilah itu dipadamkan dari kamus tersebut.

Pada 28 Februari, 2005, DBP mengemukakan permohonan bagi membatalkan saman itu atas alasan istilah itu dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga bukan bertujuan jahat, menimbulkan kacau-bilau, menganggu keamanan, merangsang rasa benci, permusuhan, dendam, tidak harmoni atau perpecahan seperti yang didakwa oleh APIM.

Dalam afidavit sokongan bagi membatalkan saman itu, Timbalan Ketua Pengarah DBP, Abu Bakar Mohamad mendakwa APIM tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undangundang) untuk mengemukakan saman tersebut bagi pihak kaum India Muslim.

Persoalan saya, aktivis ini dan ultra kiasu sebelum ini, baca atau tidak sejarah perkataan ‘keling’ ini. Begitu juga dengan keputusan mahkamah. Semua mahu dipolitikkan.

Inilah akibatnya apabila manusia lupa sejarah, lupa asal usul. Tidak mengambil perkembangan apa yang berlaku disekeliling. Dia nak dia sahaja.

Untuk makluman, perkataan ‘keling’ dipercayai berasal dari kerajaan India kuno, Kalinga.

Dalam bahasa ibunda saya, Cina Hokkien, kami menyebut masyarakat India sebagai ‘kelinga’

Jelas di sini, dari segi epistimologinya memang tidak ada masalah. Ia telah digunakan sejak zaman berzaman.

Tiba-tiba hari ini tidak boleh guna. Cuba tanya pemimpin Cina ultra kiasu, apa perkataan yang digunakan merujuk orang India.

Apakah selepas ini, orang Hokkien tidak boleh lagi menggunakan perkataan yang telah digunakan ribuan tahun hanya kerana ia tidak disukai. Apa semua ini?

Apakah selepas ini Masjid Kapitan Keling turut diminta ditukar namanya dengan membuang perkataan keling, menjadi Masjid Kapitan sahaja. Saya cukup kasihan kawan saya yang bernama Zainal Kling. Apakah selepas ini, pemimpin ultra kiasu akan meminta Zainal Kling memohon maaf kepadanya?

Hairan sungguh saya, beriya-iya menentang penggunaan perkataan ‘keling’, tetapi dalam isu pengganas LTTE, senyap seribu bahasa. Sebenarnya kamu nak apa? Beri betis nak peha. Kaduk sudah naik junjung.

Sampai bila kita akan terus tunduk kepada ultra kiasu ini sedangkan kita di pihak yang benar?

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button