Artikel Khas

Sampai bila pemimpin Melayu mahu sedar…

Betullah apa yang Machiavelli kata, demi mendapat kuasa, buat apa sahaja, sekalipun matlamat menghalalkan cara. Demi mengekalkan buatlah apa sahaja. Demi menjatuhkan buat apa sahaja

LEMAS sungguh dengan politik Melayu hari ini. Semua berpecah, tidak ada kesudahan. Ultra kiasu paling seronok kerana mereka sentiasa menang.

Jika UMNO meninggalkan PAS, ultra kiasu (DAP) menang. Jika PAS meninggalkan UMNO, ultra kiasu juga menang, Jika UMNO bekerjasama dengan ultra kiasu, lagilah ultra kiasu menang. Yang rugi, tetap umat Islam (Melayu). Sememangnya Melayu mahu kalahkah? Kalah itu indah, gamaknya.

Pendek kata, perpecahan dalam kalangan parti politik Melayu telah dan akan memberikan kemenangan kepada ultra kiasu. Apatah lagi, bekerjasama dengan ultra kiasu, termasuk MCA dan Gerakan. Mereka sedia berpindah-randah parti untuk memenangkan bangsa mereka manakala pemimpin Melayu rela tikam-menikam demi alasan yang entah-berantah.

Duhai orang UMNO, jangan sekali-kali kalian harapkan kelemahan UMNO. Wahai orang UMNO, jangan sekali harap kejatuhan PAS…

Tidak belajarkan dari sejarah yang baru berlaku sebelum PRU14. Sebelum apa-apa PAS terlebih dahalu dilanggar olah rakannya dan dirompak hati sebahagian pemimpinnya sehingga lahirlah anak buluh kiasu yang kononnya ada sifat amanah dan sifat ikram. Menjelang PRU isu-isu seperti GST, 1MDB dan 90 juta digunakan untuk membunuh karakter bangsa Melayu. Seolah Melayu dan Islam tiada kebaikan, timbullah kata keparat “Pilih pemimpin bukan pilih syurga atau neraka”.

Sudahkah kita lupa 22 bulan, ketika ultra kiasu berkuasa. Ultra kiasu caturkan segalanya sehingga keadaan menjadi porak peranda. Atau kalian benar-benar menginginkan 22 bulan itu berulang kepada 44, 66 atau 88. PRU 14, kamu dilemahkan bersama-sama.

Lemahnya salah satu parti UMNO-PAS, akan melemahkan Islam dan bangsa di negara ini. Pasti akan ada entiti lain yang akan mengambil tempat dan menjadikan keadaan makin gawat. Sekurangnya kamu masuklah panggung tengok dan belajar dari Upin-Ipin Keris Siamang Tunggal, itulah kamu UMNO dan PAS.

Saya amat yakin, perpecahan dalam kalangan parti politik Melayu telah lama dirancang oleh ultra kiasu. Terutama melagakan antara dua parti Melayu Islam terbesar iaitu UMNO-PAS. Saya tidak faham, kenapa kita begitu naif, terus terperangkap, terus diperbodohkan. Jika PN berpecah ultra kiasu akan bertepuk tangan, tetapi MN berpecah mereka akan berpesta 1000 hari 1001 malam. Jangan biarkan mereka bertepuk tangan, apatah lagi berpesta.

Lebih menjengkelkan, dalam keadaan sebegini dikatakan ada sebahagian pemimpin UMNO tanpa segan silu mengatakan secara terbuka untuk bekerjasama dengan ultra kiasu yang selama ini dianggap sebagai musuh paling tegar.Tidak ada rasa malu langsung untuk jilat ludah kembali, ia bukan soal mengugut PPBM, tetapi ia soal marahkan nyamuk rumah dibakar.

Paling hina, bila ada kenyataan terbuka, mahu lepas diri daripada perbicaraan di mahkamah. Tidakkah kita berpegang kepada prinsip sekiranya tidak bersalah, apa yang mahu ditakutkan. Dari satu pihak lagi terlihat PN seolah mahu meneruskan agenda PH untuk membuat perbicaraan terpilih. Kalau nak dakwa, dakwa semua.

Dalam demokrasi bahkan Islam juga, seseorang yang dituduh itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Jangan buat andaian sehingga hukuman dijatuhkan. Adakah awal-awal lagi ada yang merasakan dia bersalah dan mahu melepaskan diri dengan cara bekerjasama dengan musuh?

Kerana kuasa, sanggup lakukan apa sahaja untuk melepaskan diri. Politik seperti ini sangat hina. Tidak ada lagi perkiraan dunia dan akhirat. Mahu melepaskan diri daripada dunia. Akhirat boleh terlepaskah? Atau akhirat sudah tidak penting lagi?

Sekian lama saya ingatkan. Kenapa tidak belajar daripada kebijaksanaan ultra kiasu?

Contoh, apabila MB Kelantan dan exco tukar kereta rasmi mereka. Heboh satu dunia. Sesama Islam saling kutuk mengutuk.

Tetapi apabila Ketua Menteri ultra kiasu, tukar kereta rasmi, lagi mewah daripada kereta MB Kelantan. Kita disuruh diam. Mana boleh?

Apabila isu ini menjadi viral, Ketua Menteri ultra kiasu pun meminta maaf. Kita pun puji dia, Ketua Menteri berjiwa besar. Wal hal, kereta baharunya tetap menjadi tunggangannya.

Dalam kes pembelian kereta MB dan exco Kelantan, berapa lama cybertrooper ultra kiasu terus memainkan isu ini. Di manakah kami dari isu terowong? Isu RCI Tabung Haji, Isu Adib dan lain-lain, mudahnya kamu dipesongkan dari isu-isu ummah demi politik apa ya? Perut kamu?

Paling pelik, sekutu ultra kiasu ini diam, senyap sepi, termasuk anak buluh kiasu yang pandai menyelinap konon memuliakan. Buang sahajalah sifat ikram itu. Buat malu sahaja.

Begitulah bijaknya ultra kiasu dalam mencaturkan politik Melayu Islam.

Sayang sekali, ada segelintir pemimpin Melayu terus dengan kebongkakannya mengatakan, UMNO tetap boleh menang walaupun bersendirian. Betul ke? Bukti kajian mana? Berapa kerusi boleh menang? Saya pun teruja untuk membacanya.

Dalam negara berbilang kaum, nisbah 60:40, parti mana pun tidak boleh memerintah bersendirian, tanpa sokongan dan dokongan parti lain.

UMNO tidak akan boleh menang bersendirian atau memerintah tanpa PAS, GRS dan GPS. Kecualilah bergantung harap kepada PKR dan DAP. MCA dan MIC, sudah tidak relevan dalam soal gabungan kerana hanya menang di kawasan majoriti orang Melayu. Parti Gerakan langsung tidak relevan.

Jika MCA dan MIC diberikan laluan banyak kerusi di kawasan majoriti Melayu dan menang, tidak mustahil mereka menjadi ‘king maker’ selepas ini.

Jika MN dan PN sudah tidak relevan lagi bagi UMNO, perlu ada strategi lain dalam kalangan UMNO dan PAS. PAS perlu hormati UMNO, supaya jangan bertembung dengan UMNO (bukan BN).

PAS juga perlu hormati PN dan jangan bertembung dengan PPBM.

Inilah formula bijak dalam mencaturkan politik Malaysia daripada jatuh ke tangan ultra kiasu

Jika sengketa antara UMNO-PPBM memang tidak dapat diselesaikan, PAS perlu benar-benar berkecuali. Zaman BN kena lanyak, zaman PH kena lenyek dan kini PN kamu tetap dikeronyok. Dikeronyok saudara kamu dan PH plus kerana usahanya mahu mendamaikan bangsa.

PAS mungkin perlu bersedia bekerjasama secara strategik dengan UMNO dan PPBM dalam menghadapi PRU 15. Biarkanlah UMNO-PPBM bergasak, jika itulah yang dipilih mereka. Jika berlaku pertembungan antara UMNO-PPBM melawan PH. Ketika itulah kita akan tahu kekuatan masing-masing.

Jika ada Kerjasama dan pakatan strategik ini, saya yakin, UMNO + PAS + GPS + GRS akan dapat sekitar 120 kerusi. PPBM, tidak kisah berapa kerusi pun dia dapat. Biar mereka berkubang di kerusi yang dimenangi PH, banyak lagi tu.

Kerusi Perdana Menteri berikan kepada parti majoriti. Atau kalau susah sangat, biar PAS yang meneraju. Usah bimbang kekuatan penjawat awam pernah membuktikan, mampu menstabilkan negara walau tanpa orang politik. Rasanya inilah peluang PAS merealisasikan idea kerajaan perpaduan, kerajaan teknokrat dan kerajaan berkebajikan. Paling penting gabungan majoriti mudah yang stabil tak mungkin goyang. Jika dapat lebih kerusi, itu bonus untuk bangsa.

PPBM perlu berhati-hati dengan orang-orang yang ada sifat ikram yang berada dalam parti, yang akan merosakkan PPBM nanti.

Saya ingin ingatkan sekali kepada kepimpinan UMNO-PAS, kegagalan kerjasama antara UMNO-PAS itulah kejayaan ultra kiasu DAP dan sekutunya.

Kepada UMNO, bersabarlah sedikit. Kerajaan diterajui PPBM pun tidak akan bertahan lama dalam keadaan yang tidak stabil masa kini. PRU15 pasti akan berlaku dalam jangkamasa terdekat, terutama setelah vaksin COVID-19 sampai. Masa sahaja yang akan menentukan.

Sementara menunggu PRU15, UMNO tidak perlu merasa takut dengan bayang-bayang jika PPBM mahu ‘membeli dan mencuri’ ahlinya.

Apakah begitu goyah iman pemimpin dan ahli UMNO sehingga mudah ‘dibeli dan dicuri’? Jika begitulah keadaannya, UMNO mesti memperkuatkan jentera tarbiyyah agar kuat imannya, tidak mudah dibeli dan dicuri.

Belajar daripada PAS dalam soal tarbiyyah ini. Selepas berpisah dengan PAN, PAS tidak pernah takut dan goyah jika pemimpin dan ahlinya dicuri.

PAS yakin tarbiyyah dan usrahnya sudah mengikat ahli-ahli dengan parti. Inilah masanya untuk belajar daripada PAS dan peluang PAS untuk mentarbiyyah UMNO. Tapi PAS perlu juga berjaga-jaga takut pemimpin yang jadi mediator terpancing oleh parti rakan macam dulu-dulu. Macam-macam boleh jadi.

Paling tidak hari ini, ramai pemimpin UMNO sudah pandai berselawat sebelum memulakan ceramah. Jika tidak, sebelum ini, asyik cuba dengan ‘slang omputih’ sahaja apabila bercakap, bagi menunjukkan dia hebat.

Ingatan kepada pemimpin UMNO, jangan terlalu mendesak diadakan segara PRU15. Sebenarnya rakyat sudah muak, malah ada yang mula benci, walaupun sebelum ini simpati dengan UMNO. Desakan UMNO agar disegerakan PRU15 dalam keadaan pandemic COVID-19 dan bencana banjir yang semakin mengganas, mula menjadi rakyat merasa hambar…

Untuk PPBM, disampaikan salam…. Usah disakitkan hati sahabat… dan keluarlah segera dari saka PM 2 kali, kamu tentu akan lebih diyakini. Belajar-belajarlah mencermin diri agar lebih ramai yang akan berdiri di hadapan kamu.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button