Berita Utama

UMNO ‘buang tabiat’ desak PRU ketika negara berdepan bencana

Jom beri sokongan kepada anak muda Islamis yang berpotensi pimpin negara

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin – Tindakan UMNO – parti yang kononnya memperjuangkan Melayu – mendesak Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan ketika negara berdepan wabak, bencana serta krisis ekonomi disifatkan pelik dan ganjil. 

Bahkan, tindakan parti yang sangat ‘menagihkan’ sokongan majoriti rakyat itu juga seperti ‘buang tabiat’, kata Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Haji Mohd Hazizi Ab Rahman. 

Beliau menyifatkan tindakan Ahli Parlimen UMNO mendesak PRU diadakan dalam masa terdekat sebagai tidak populis, malah menimbulkan rasa meluat dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda. 

“Orang-orang tua dulu mengatakan seseorang yang buat perkara ganjil dan pelik sebagai buang tabiat, sebelum meninggal dunia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas kemelut yang berlaku di dalam UMNO, termasuk gesaan pemimpinnya yang mahukan PRU15 dibuat dalam masa terdekat. 

Suasana politik negara kembali ‘panas’ berikutan khabar angin mengenai wujud dua kem di dalam UMNO yang menolak dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Kemelut itu dilihat semakin berpanjangan apabila terdapat Ahli Parlimen UMNO yang memutuskan menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin. 

Mengulas perkara itu, Mohd Hazizi menggesa rakyat supaya mengabaikan UMNO dan menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja masyarakat dalam membantu mangsa banjir dan membendung penularan COVID-19. 

“Rakyat perlu fokus membantu sesama kita dalam menghadapi waktu sukar ekonomi ketika ini dan memberi sokongan kepada anak muda Islamis yang berpotensi untuk memimpin negara pada PRU akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button