Dunia

Gaza kritikal, WHO gesa pertingkat bantuan kemanusiaan

Separuh daripada kematian akibat perang adalah wanita dan kanak-kanak

KAHERAH, 9 Jamadilawal 1445H, Khamis – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa bantuan kemanusiaan dipertingkatkan di Semenanjung Gaza sepanjang tempoh gencatan senjata sementara di wilayah itu.

Ketua Serantau WHO untuk Mediterranian Timur, Dr Ahmed Mandhari berkata, penghantaran bantuan lebih banyak sangat diperlukan untuk hospital memenuhi keperluan penduduk terjejas.

Beliau membuat gesaan itu ketika taklimat di Kaherah untuk membincangkan keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza selepas negara haram Israel dan pejuang Hamas bersetuju menggantung peperangan.

Rayuan itu dibuat susulan perjanjian jeda kemanusiaan baru-baru ini antara Hamas dan Israel, bertujuan memberikan kelegaan kepada pengepungan dan menukar tebusan.

Dalam taklimat itu, Dr Ahmed turut menekankan jumlah korban orang awam di Gaza, di mana lebih separuh daripada kematian adalah wanita dan kanak-kanak.

Di bawah perjanjian Israel-Hamas, 50 warga Israel yang ditawan Hamas akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk 150 tahanan Palestin di penjara Israel.

Perjanjian itu juga termasuk jeda kemanusiaan empat hari dalam pertempuran dan kemasukan trak bantuan, termasuk bahan api ke Semenanjung Gaza.

Perjanjian itu membenarkan lanjutan jeda dan potensi pembebasan lebih ramai kanak-kanak serta wanita yang ditahan kedua-dua pihak.

Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Gaza sehingga membunuh lebih 14,128 rakyat Palestin, termasuk 5,840 kanak-kanak dan 3,920 wanita.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button