Berita Utama

‘Saya hanya berkata benar’ pemimpin UMNO berjumpa DAP

Pertemuan dengan Anthony Loke di luar keputusan parti

BANGI, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Tan Sri Annuar Musa mendakwa, beliau mendapat maklumat yang sahih bahawa beberapa pemimpin UMNO menemui Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

“Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan perkara itu.

“Cuma memadai saya menyatakan saya mendapat maklumat yang sahih dan sudah pun diakui orang berkenaan bahawa di luar keputusan parti, ada pimpinan tertinggi yang terlibat dalam pertemuan dengan Anthony Loke dari DAP,” dakwanya dalam wawancara dengan TV Pertiwi, semalam.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu mengesahkan pemimpin itu termasuk ahli Majlis Kerja Tertinggi dan pimpinan UMNO.

“Jika ada (kerjasama dengan DAP) sepatutnya dibincangkan sekurang-kurangnya dalam biro politik, jawatankuasa pengurusan atau beritahu saya sebagai setiausaha agung, tetapi itu tidak pernah berlaku.

“…Saya hanya perlu berkata benar. Saya tak kata salah atau tidak salah perbuatan itu, terpulang kepada penilaian.

“Saya hanya menyatakan peristiwa yang berlaku dan sebagai setiausaha agung parti yang menjalankan keputusan dibuat parti, perkara-perkara tersebut (kerjasama dengan DAP) tidak pernah diputuskan oleh parti,” katanya.

Terdahulu, Annuar mendakwa mendapat maklumat sahih mengenai usaha rundingan yang didakwa melibatkan UMNO, DAP dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menerima laporan wujud gerakan dari UMNO untuk bekerjasama dengan DAP termasuk membentuk kerajaan baharu.

Rundingan itu melibatkan beberapa pimpinan tertinggi UMNO yang tidak dimaklumkan kepada parti.

Selain itu, wujud surat sokongan yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi UMNO kepada Anwar.

Antara isi kandungan surat sokongan yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong itu adalah untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semakan dengan beberapa pihak mendapati surat tersebut adalah tulen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button