Berita Utama

PKP: Belanjawan 2021 penyelamat ekonomi negara

Pastikan prestasi ekonomi tak merudum teruk seperti PKP pertama

KUALA LUMPUR, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Sama ada suka atau tidak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri MUhyiddin Yassin semalam pasti akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

Ini terutamanya selepas enam buah negeri yang diberi perhatian khusus dalam PKP kali ini merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, satu-satunya cara bagi memastikan impak negatif pelaksanaan PKP tidak begitu dirasai adalah dengan melaksanakan segera program ransangan ekonomi di bawah Belanjawan 2021.

Katanya, program-program tersebut mampu memastikan prestasi ekonomi negara tidak merudum teruk seperti semasa pelaksanaan PKP yang pertama.

“Memang akan terkesan sebabnya pembatasan pergerakan terutamanya di enam buah negeri yang menyumbang 65 peratus kepada KDNK.

“Yang penting sekarang kerajaan perlu melaksanakan segala peruntukan dan inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 seperti bantuan geran kepada PKS (perusahan kecil dan sederhana) bersasar berjumlah RM2 bilion dan juga kemudahan kredit mikro berjumlah RM1.5 bilion.

“Selain itu, subsidi upah ini saya harap ada penambahbaikan dan diberikan kepada sektor terjejas. Paling penting projek jana kerjaya dilaksanakan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Prof Madya Ahmed Razman berkata, perlu diingati, masalah pandemik COVID-19 bukan hanya didepani oleh Malaysia malah melibatkan semua negara di dunia.

Justeru, katanya, amat penting bagi semua pihak memainkan peranan mereka dengan mendengar arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam melandaikan keluk jangkitan.

“Kita pernah menang suatu masa dahulu tetapi kita alpa dengan beberapa tindakan yang menyebabkan ianya kembali menular.

“Jadi dahulu kita pernah buat dan tak mustahil untuk kita buat sekali lagi , kerjasama memang amat penting bagi semua pihak dalam isu ini,” katanya lagi.

Semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan akan melaksanakan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah dari 13 hingga 26 Januari.

Katanya, manakala, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) dari 13 hingga 26 Januari.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button