Berita Utama

222 pemegang PhD sokong darurat, tolak PRU15 diadakan

Minta semua pihak tak cabar pandangan Agong, keperluan darurat dilaksana

BANGI, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Seramai 222 pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pengisytiharan proklamasi darurat sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini. 

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, pihaknya turut menjunjung keputusan Al-Sultan Abdullah memberi perkenan terhadap cadangan pembentukan Jawatankuasa Bebas yang terdiri daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan. 

Sehubungan itu, PINTAR menolak sebarang cadangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, selain mengecam usaha untuk ke arah itu selaras kegusaran Seri Paduka terhadap peningkatan mendadak kes jangkitan serta kesan bencana banjir di negara ini, katanya. 

“Kami meminta semua pihak tidak mempersoal apa lagi mencabar pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. 

“… memandangkan ia hanya dibuat setelah Seri Paduka Baginda merundingkannya dengan Raja-Raja Melayu serta memperhalusi penjelasan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abullah; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Istana Negara mengumumkan Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah membendung wabak di Malaysia. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19  harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. 

Seri Paduka turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen dan pakar kesihatan. 

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan bahawa proklamasi darurat yang diisytihar bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera, malah tiada perintah berkurung dilaksanakan. 

Sebaliknya, hanya persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta sebarang pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button