Berita Utama

Darurat demi rakyat, jangan politikkan keputusan Agong

Agong bukan hanya dengar pandangan PM tetapi semua pihak: Aminuddin

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Tidak perlulah mana-mana ahli politik mempertikai atau mempersoalkan lagi keputusan Yang di-Pertuan Agong memperkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat di negara ini. 

Ini kerana, pengumuman yang dibuat Al-Sultan Abdullah Ri’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bukan hanya mengambil kira pandangan Perdana Menteri sahaja, sebaliknya membabitkan semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), polis dan tentera. 

Justeru, tidak wajar untuk mana-mana pihak mempolitikkan keputusan itu, memandangkan Yang di-Pertuan Agong sangat memberi perhatian terhadap nyawa rakyat, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya. 

“Sebenarnya, Yang di-Pertuan Agong sudah memberi amaran dahulu supaya jangan ada sikap orang politik yang mementingkan kuasa daripada kebajikan rakyat, tetapi malangnya ia tidak didengari. 

“Inilah yang berlaku apabila Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan sehingga menyebabkan tercetusnya gelombang kedua,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan mempunyai kuasa yang cukup untuk mengekang COVID-19 tanpa harus mengisytiharkan darurat. 

Terdahulu, Istana Negara mengumumkan Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah membendung wabak COVID-19 di Malaysia.  

 Dalam satu kenyataan, Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.  

Seri Paduka turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen dan pakar kesihatan.  

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, keputusan yang dibuat Seri Paduka Baginda bukanlah sesuatu yang luar biasa, kerana negara-negara lain juga melaksanakannya demi mengawal wabak daripada terus menular. 

“Apa yang penting adalah semua rakyat perlu patuh, menjaga SOP dan berdoa supaya Allah SWT segera hindarkan penyakit ini dari mengenai kita semua,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button